Bahasa

Pelaksanaan NKRA jenayah akan dikaji dan ditambah baik

August 06, 2012

KUALA LUMPUR, 6 Ogos —Kerajaan akan mengkaji dan menambah baik pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jenayah bagi mengubah persepsi masyarakat berhubung kadar jenayah dalam negara, kata Pengerusi Urus Setia NKRA itu Datuk Ayub Yaakob (gambar).

Beliau berkata kajian semula yang memfokus kepada penggabungan idea dan pandangan masyarakat itu diyakini mampu menghasilkan pendekatan sesuai dalam menangani persepsi umum bahawa kadar jenayah berada pada tahap membimbangkan.

"Kita sedang mencari formula baru untuk memberitahu masyarakat bahawa kadar jenayah sebenarnya adalah rendah, dan ia antara langkah awal menangani persepsi rakyat yang kurang yakin dalam isu keselamatan negara.

"Kita ingin mencari idea baru daripada masyarakat, dan antara langkahnya ialah dengan memahami kehendak mereka terlebih dahulu sebelum satu corak baharu ditentukan," katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas yang disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin di sini hari ini.

Bekas Ketua Polis Pulau Pinang itu memulakan tugas barunya secara rasmi hari ini, menggantikan Datuk Abu Samah Mat, yang kini Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman.

Jenayah adalah antara enam tumpuan utama NKRA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Julai 2009, selain meluaskan akses pendidikan, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam.   

Mengulas inisiatif 'kepolisan berprofil tinggi' yang melibatkan pegawai kanan, Ayub berkata ia diharap mampu menghasilkan sikap saling menghormati antara polis dan orang awam, seterusnya menimbulkan keyakinan serta kebolehpercayaan kedua-dua pihak.

"Sekiranya kerjasama telah terjalin, kita boleh berkongsi sumber yang ada, contohnya kehadiran polis di kompleks beli-belah dapat membantu pengawal keselamatan dan polis bantuan dalam menangani sebarang perlakuan jenayah," katanya.

Mengenai pelaksanaan 'omnipresence', beliau berkata dalam menambah baik pendekatan itu, pihaknya sedia menerima sebarang idea baru yang inovatif untuk digabung dengan kemahiran, pengetahuan dan aset sedia ada bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata jabatan tersebut sedang merangka satu operasi khusus bagi menangani peningkatan jenayah sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Polis akan menubuhkan satu pasukan khusus bagi menangani jenayah rompak, samun dan sebagainya di kawasan panas yang dikenal pasti, khasnya pada sepanjang musim perayaan," katanya tanpa mengulas lanjut. — Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi