Bahasa

Pelantikan Tuanku Abdul Halim untuk kali kedua tercatat dalam buku rekod Malaysia

July 11, 2012

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua adalah antara rekod yang terkandung dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBR) edisi kelapan yang dilancarkan malam ini.

Selain Seri Paduka Baginda, rekod terkini MBR juga mencatatkan Kama Mirezzanail Kama Rezmie sebagai budak lelaki paling rendah dengan ketinggian 56sm dan pemain bola sepak Mohd Safee Mohd Sali sebagai pemain menerima bayaran paling tinggi.

Buku MBR edisi kelapan, yang diterbitkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, mengandungi lebih daripada 4,000 rekod dan pencapaian oleh rakyat Malaysia.

Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz  di sini sempena ulang tahun ke-17 MBR.

Majlis itu turut dihadiri oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengasas MBR, Datuk Danny Ooi.

Terdahulu, D’Cruz dalam ucapannya, berkata bahawa peserta dalam MBR sebagai terbukti mendapatkan hak pemilikan slogan ‘Malaysia Boleh’.

Beliau berkata semangat dan keazaman peserta dalam MBR akan pasti menjadi inspirasi bagi semua rakyat Malaysia terutamanya golongan belia.

“Semua insan mempunyai impian, bagaimanapun apa yang membezakan anda semua daripada lain bahawa anda telah mengecapi impian anda. Kumpulan cemerlang ini telah melepasi banyak cabaran dan diakui mempunyai tahap ketekunan yang tinggi yang tiada pada orang yang terus bermimpi,” katanya pada ‘Malam Pencapaian Peserta’ dan pelancaran edisi buku tersebut.

D’Cruz berkata MBR telah berjaya menyuntik semangat 1Malaysia, mulanya ke dalam diri individu dan kemudian ke dalam kumpulan.

“Kerja berpasukan dalam mencapai impian adalah dipuji kerana apa yang dianggap mustahil boleh dicapai melalui semangat kerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kejayaan ini mencerminkan minda masyarakat Malaysia untuk maju dan berdaya saing dengan masyarakat membangun yang lain di dunia,” tambahnya. – Bernama

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi