Bahasa

Pemantauan harga 20 barangan kawalan bermula hari ini

August 12, 2012

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mula memantau kesemua 20 jenis barangan runcit di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) 2012.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Abu Samah Shabudin berkata kesemua 20 jenis barangan itu akan dipantau di bawah Akta Kawalan Harga 1946, Perintah Kawalan Harga 1993 bagi mengelak manipulasi harga barangan sempena sambutan Hari Raya tidak lama lagi.

“SKHMP ini akan dijalankan secara serentak di semua pasar tani dan pasar basah seluruh negara bermula hari ini sehingga 26 Ogos nanti bagi memastikan tidak ada lagi kes memanipulasi pengguna mahupun peniaga pasar sepanjang musim perayaan ini.

“Kita tidak mahu dalam keghairahan orang ramai untuk sambut hari raya ada golongan yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas pengguna dalam mendapatkan bahan mentah,” katanya kepada pemberita ketika melancarkan SKHMP peringkat Wilayah Persekutuan serta melakukan tinjauan harga barangan di Pasar Taman Tun Dr Ismail hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh skim itu peniaga perlu menggunakan tanda harga berwarna merah jambu serta tidak menjual barang terkawal melebihi harga kawalan seperti yang telah ditetapkan.

Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah untuk ayam hidup (RM5.70); ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal (RM6.80); ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.60).

Daging lembu tempatan (RM22); daging lembu import-harga maksimum di Sarawak sahaja (RM24); daging kerbau tempatan (RM21); dan daging kerbau import India (RM13.50).

Selain itu telur ayam gred A (RM0.35 sen), gred B (RM0.34 sen) dan gred C (RM0.33 sen); kubis bulat import-Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing (RM3.20); cili merah (RM10); dan tomato (RM4.50).

Harga maksimum bagi kelapa parut di peringkat runcit sahaja (RM6); kacang tanah import (RM6.50), bawang merah kecil India (RM5); bawang besar import (RM2.50), bawang putih China (RM7.50), ubi kentang import China (RM3); dan ikan kembung (RM12).

Abu Samah berkata SKHMP akan dipantau di peringkat negara bermula hari ini di mana bagi Kuala Lumpur, PPDNKK akan mula melakukan tinjauan berkala dengan kekuatan 50 pegawai penguatkuasa dan 100 pegawai pemantau harga.

Beliau berkata aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim itu boleh dibuat menerusi e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau talian bebas tol 1-800-886-800, SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNKK ADUAN “ atau lapor terus di pejabat KPDNKK di seluruh negara. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi