Pembangkan tidak dihalang berhimpun asalkan tidak gugat keamanan, kata Najib
KUALA LUMPUR, 28 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak, termasuk pembangkan, untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia diadakan dalam keadaan yang aman dan di tempat yang sesuai.
Najib (gambar) merujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung di sekitar kota Kuala Lumpur petang ini.
“Kita beritahu kepada mereka, kalau nak berhimpun, kita bagi Stadium Bukit Jalil, kita sanggup beri Stadium Merdeka pun (sebagai lokasi perhimpunan).
“Tapi, jangan menyusahkan rakyat dan mencemar imej negara kita,” kata Najib, mengikut laporan agensi berita rasmi Bernama.
Najib berkata bahawa Dataran Merdeka tidak dibenarkan diguna sebagai lokasi perhimpunan disebabkan ianya merupakan symbol kemerdekaan negara dan bukan untuk berdemonstrasi.
“Kita telah membina negara ini. Kita telah berkorban membawa Negara Malaysia kepada keadaan hari ini. Dan kita mesti pertahankannya di samping kita membenarkan hak asasi mereka untuk berhimpun,” katanya.
Najib turut mengecam dakwaan pihak pembangkang bahawa Suruhanjay Pilihan Raya (SPR) adalah tidak adil, menyatakan bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) selama ini adalah melalui keyakinan rakyat terhadap kebolehan mereka memimpin negara.
“Kita tidak mahu dipilih atas penipuan. Kita adalah kerajaan yang dipilih atas kehendak rakyat. Majoriti rakyat pilih kita kerana mereka tahu kerajaan kita BN lebih baik daripada mereka. Sebab itu mereka memilih kita,” kata Najib.
Beribu-ribu orang telah berkumpul di sekitar kota Kuala Lumpur untuk perhimpunan Bersih 3.0 dari pagi tadi.
KUALA LUMPUR, 28 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak, termasuk pembangkan, untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia diadakan dalam keadaan yang aman dan di tempat yang sesuai.



