Bahasa

Pembangkang bersemangat untuk tawan Negeri Sembilan

Oleh Mohd Farhan Darwis
November 04, 2012

Anwar Ibrahim di pentas ceramah Taman Seremban Jaya.Anwar Ibrahim di pentas ceramah Taman Seremban Jaya.SEREMBAN, 4 Nov — Perjuangan Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya dilihat semakin bersemangat apabila ceramah Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya malam tadi menyaksikan kehadiran lebih dua ribu pengunjung.

Itu walaupun terpaksa mendegar ceramah dalam keadaan hujan lebat, meredah becak dan lumpur di kawasan program berkenaan berlangsung.

Pengunjung yang kebanyakannya hadir daripada negeri yang mengamalkan Adat Pepatih itu dilihat begitu bersemangat, dan sanggup menunggu sehingga selesai ceramah pimpinan tertinggi PR dan turut bersorak apabila pemimpin mereka memberikan ucapan bersemangat.

Kehadiran pucuk pimpinan PR seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memberi “aura” kepada program tersebut, nyata dinanti kebanyakan pengunjung tanpa mengira bangsa, agama, dan latar belakang untuk mendengar ceramah berkenaan isu-isu semasa yang dibangkitkan.

Hanya peserta yang bernasib baik dapat duduk ditempat duduk berbumbung.Hanya peserta yang bernasib baik dapat duduk ditempat duduk berbumbung.“Saya hari ini datang ke sini memang untuk mendengar ceramah pemimpin PR ... banyak  penyelewengan BN (Barisan Nasional didedahkan,” kata seorang pesara kerajaan Khairuddin Abdullah.

“Jika PR menang, banyak perubahan yang boleh dilaksanakan dan penyelewengan yang dilakukan BN akan didedahkan.”

Beliau yang berasal dari Pinggiran Senawang dan berusia 40 tahun teruja untuk menghadiri ceramah pada malam itu, kerana tidak dapat menghadiri ceramah-ceramah sebelum ini ekoran masih berstatus penjawat awam.

“Mereka (PR) adalah idola saya ... ceramah malam ini adalah yang pertama saya hadir, selepas bersara kerana lama saya tidak hadir atas kekangan tugas sebagai kakitangan kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Abdul Hadi sedang menyampaikan ucapan di Taman Seremban Jaya.Abdul Hadi sedang menyampaikan ucapan di Taman Seremban Jaya.Antara isu yang menjadi perhatian pemimpin PR malam itu adalah pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), isu dana RM40 juta untuk Umno Sabah, dan juga isu membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan peniaga balak Datuk Michael Chia.

Lim dalam ceramahnya menegaskan AES perlukan kajian  mendalam, dan meminta agar Putrajaya melakukan rundingan agar kajian yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Tangguhkan pelaksanaan AES supaya rundingan mendalam dan kajian dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

“Kalau PR berjaya mara ke Putrajaya, saya akan cadang AES bukan untuk kesalahan trafik ... tetapi untuk banteras rasuah.

“ ‘Automatic Enforcement System’ untuk rasuah ... setuju atau tidak?’ ” kata Lim dan disambut “setuju” oleh hadirin pada malam itu.

Abdul Hadi pula dalam nada sinis berkata pelaksanaan AES adalah untuk membebankan rakyat apabila memberikan gambaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan “habis” digunakan untuk membayar kesalahan trafik akibat disaman AES.

“Bagi BR1M RM500 ... lima tahun sekali ... (bila) disaman 10 kali, habis,” katanya merujuk kepada pelaksanaan AES. “Kita perlu jadi rakyat yang cerdik.”

Pilihan Raya Umum 2008 sebelum ini menyaksikan PR memenangi tiga daripada lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, dan 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Walaupun hanya 41.8 peratus pengunjung ceramah malam itu adalah populasi pengundi di Seremban, kebanyakannya dilihat terdiri daripada komuniti Melayu.

Anwar dalam ceramahnya turut menayangkan gambar-gambar ceramahnya sewaktu berada di Sabah dan Sarawak yang ternyata memberikan gambaran positif terhadap imej pembangkang di Timur Malaysia kepada pengunjung ceramah di Seremban.

Sebahagian hadirin di ceramah.Sebahagian hadirin di ceramah.Kew Yong Peng, 40, berasal dari Tampin pula melihat contoh bebas rasuah yang dipaparkan oleh pentadbiran negeri-negeri di bawah PR membuatkan beliau tertarik untuk memilih parti itu dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Saya mahu ubah kepimpinan kerajaan ... sekarang rasuah sangat teruk, sekiranya PR memerintah (negara), saya yakin rasuah akan dapat dikurangkan.

“(Cuba) lihat negeri PR, mana ada rasuah,” katanya yang turut membawa anak lelakinya menghadiri ceramah pada malam tadi.

Ani, 56, dari Kuala Pilah, pula menghadiri ceramah hanya untuk “gambaran sebenar” yang tidak tidak disiarkan di dalam televisyen tempatan.

“Saya mengharapkan untuk melihat perubahan sebelum meninggal dunia,” katanya.

Walaupun dalam keadaan basah akibat hujan lebat sejak petang dan kehadiran sekitar 200 anggota polis, pengunjung ceramah turut dilihat membawa bendera ketiga-tiga parti komponen PR, dan juga kain rentang, serta bersorak “Ubah”, “Hancur BN”, dan sebagainya diselang-selikan dengan ucapan pemimpin PR.

Selain kehadiran Ito, vokalis kumpulan Blues Gang yang cukup sinonim dengan aktiviti PR, pengunjung turut dihidangkan dengan persembahan bunga api.Kehadiran berbagai kaum lebih dua ribu pengunjung walaupun hujan lebat.Kehadiran berbagai kaum lebih dua ribu pengunjung walaupun hujan lebat.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi