Pembangkang bersetuju pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan
KUALA LUMPUR, Sept 11 — Beberapa pemimpin pembangkang bersetuju dengan ucapan Perdana Nenteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan.
Menurut ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, beliau bersetuju dengan kenyataan perdana menteri, namun tidak bersetuju apabila perdana menteri membangkitkan isu tunjuk punggung.
“Kenyataan itu telah jelas merosakkan janji beliau untuk pendidikan agar tidak dipolitikkan.
Nurul Izzah berkata beliau bersetuju dengan kenyataan perdana menteri, namun tidak bersetuju apabila perdana menteri membangkitkan isu tunjuk punggung. — Gambar file“Saya berharap dengan kenyataan ini, saya dapat masuk ke sekolah di kawasan parlimen saya, kerana saya mendapati bahawa terdapat surat pekeliling melarang ahli parlimen pembangkang dari memasuki kawasan sekolah,” kata Nurul yang ditemuramah The Malaysian Insider di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.
Ahli parlimen Lembah Pantai itu turut berkata, perbelanjaan untuk pendidikan, yang mewakili 16 peratus dari kadar keluaran dalam negara kasar, adalah perbelanjaan yang sangat besar.
“Oleh itu, perbelanjaan ini memerlukan akauntibiliti dan ketelusan agar tidak diseleweng,” katanya lagi.
Nurul juga berkata, adalah tugas kerajaan untuk membaiki mutu pendidikan negara, dan ia perlu dilakukan tanpa perlu menunggu waktu pilihan raya yang semakin hampir.
“Kita harap kenyataan perdana menteri untuk tidak mempolitikkan pendidikan, tidak digunakan untuk meraih undi menjelang pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, cadangan yang dilakukan oleh menteri pelajaran pada tahun 2006, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, masih lagi belum dilakukan.
“Pada tahun 2006, satu pelan pembangunan telah dibentangkan oleh Hishamuddin untuk menjadikan Bahasa Ketiga bahasa yang perlu dipelajari di sekolah.
“Tetapi mereka tidak melaksanakan hingga sekarang, dan sekarang mereka ingin lancarkan pelan pembangunan baru 2013 hingga 2025,” kata Tony lagi.
Menurut Tony, pendidikan tidak seharusnya dijadikan isu politik, namun ia sering dijadikan isu dan pembangkang sering diketepikan dalam mengemukakan pandangan.
“Jika perdana menteri benar-benar memaksudkannya, kenapa tidak pernah berbincang dengan kami dalam menentukan isu-isu pendidikan?
“Jika mereka serius untuk memajukan pendidikan, ia seharusnya dibincangkan bersama.
“Kita bersetuju pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan, namun nampaknya kita boleh nampak elemen politik dalam ucapan sebentar tadi,” katanya lagi.





