Bahasa

Pembantu Anwar tegaskan Xenophon termasuk dalam delegasi Australia

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa senator bebas Australia Nick Xenophon termasuk dalam delegasi parlimen bipartisan yang dijemput untuk bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Sumber dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata delegasi tersebut hanya senator dari parti Nationals John Williams, ahli parlimen parti Liberal Mal Washer dan ahli parlimen parti Buruh Australia Steve Georganas, menurut SMS yang dihantar kepada Nazri dari pejabat ketua pembangkang baru-baru ini.

“Apabila kami bertanya tentang temujanji, Xenophon memimpin pasukannya dan tiga lagi ahli parlimen,” kata ketua pegawai Anwar, Ibrahim Yaacob, kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Kita dapat temujanji. Pada saya, itu cuma perkara kecil sahaja,” katanya lagi.

Xenophon (gambar) dilaporkan media Australia semalam mengatakan delegasi Australia untuk memantau proses pilihan raya di Malaysia adalah urusan rasmi, dan mereka perlu menghantar laporan kepada parlimen Australia berkenaan lawatan tersebut.

Delegasi Australia membatalkan lawatan tersebut selepas Xenophon diusir dari Malaysia Sabtu lalu kerana dikatakan “ancaman keselamatan” kepada negara. Xenophon memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau meminta Anwar menguruskan perjumpaan dengan Nazri memandangkan beliau sukar untuk mendapatkan respon dari Umno.

“Kami meminta ketua pembangkang untuk menguruskan perjumpaan, jadi saya tak tahu kenapa mereka kata saya tak sepatutnya ada di sana,” kata Xenophon merujuk kepada pejabat Nazri.

Senator itu juga berkata beliau juga mempunyai temujanji dengan setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

“Jika saya tidak diusir, ini tidak menjadi sebarang isu,” kata Xenophon.

Akhbar Australia Sydney Morning Herald berkata pengusiran Xenophon menunjukkan pentadbiran Najib “takut” bahawa rakyat Malaysia akhirnya matang kebebasan demokrasi.

Pengarang antarabangsa akhbar tersebut, Peter Hartcher, berkata Barisan Nasional (BN), walaupun memerintah selama hampir setengah abad, tetapi masih gagal menukarkan negara ini menjadi matang dalam demokrasi, dan bimbang pilihan raya adil dan bersih akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.