Bahasa

Pembenihan awan mampu hasil hujan jika ada awan sesuai

Jabatan Meteorologi Malaysia melakukan pemantauan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi sesuai dijalankan pembenihan awan. - Gambar fail.Jabatan Meteorologi Malaysia melakukan pemantauan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi sesuai dijalankan pembenihan awan. - Gambar fail.Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) akan meneruskan proses pembenihan awan dalam menangani masalah jerebu dan kemarau ketika ini jika kebarangkalian hujan turun mencapai 80% hasil pembenihan itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata pembenihan awan hanya dapat dilakukan sekiranya terdapat awan jenis "towering cumulus" yang mengandungi udara lembap di satu-satu lokasi terutama di kawasan yang mengalami kemarau.

"Awan yang sesuai untuk pembenihan awan bukannya sentiasa ada dan pembenihan juga hanya boleh dilakukan sekiranya keadaan atmosfera dan awan tidak begitu stabil," katanya kepada pemberita selepas melancarkan komputer jenama Magic Zlate 11 di Kuala Lumpur hari ini.

Abu Bakar berkata sejak minggu lepas JMM melakukan empat operasi pembenihan awan yang kesemuanya menghasilkan hujan lebat.

Beliau berkata operasi pembenihan awan ketika cuaca panas dan kering ketika ini hanya mampu menghasilkan hujan sekiranya terdapat awan yang sesuai untuk proses itu.

Abu Bakar berkata operasi pembenihan awan bukan dilakukan bagi menghasilkan hujan semata-mata namun fungsi utamanya ialah untuk mempercepatkan proses turunnya hujan.

Katanya JMM turut melakukan pemantauan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi sesuai dijalankan pembenihan awan.

"Pihak JMM dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dengan peralatan pembenihan hujan...ada saja awan sesuai kita akan laksanakan untuk cepatkan hujan," katanya.

Dalam perkembangan lain Abu Bakar menjelaskan pihak kementerian meluluskan 1,189 projek dengan perbelanjaan RM322 juta di bawah dana Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (PP&P) dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Beliau berkata di bawah RMK-10 kementerian menawarkan tujuh dana bagi keperluan rantaian PP&P dengan peruntukan RM660 juta.

Antara dana itu ialah Dana Sains, Dana PraPengkomersialan, Dana Pembangunan dan Penyelidikan Pengkomersialan dan Dana Pemerolehan Teknologi. - Bernama, 6 Mac, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.