Bahasa

Pemerhati antarabangsa pantau proses pilihan raya di ibu negara

Pengundi beratur untuk mengundi di sebuah pusat mengundi di Pekan, Pahang, 5 Mei, 2013. — Gambar ReutersPengundi beratur untuk mengundi di sebuah pusat mengundi di Pekan, Pahang, 5 Mei, 2013. — Gambar ReutersKUALA LUMPUR, 5 Mei — Seramai 18 pemerhati antarabangsa yang dijemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyaksikan proses pilihan rayamumum ke-13 (PRU13) membuat pemerhatian di beberapa pusat mengundi di sini sejak awal pagi.

Seramai 12 anggota daripada mereka iaitu tiga dari Kemboja dan sembilan dari Thailand dengan diiringi Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria dibawa ke beberapa pusat mengundi dan pada sebelah petang akan dibawa ke pusat pengiraan undi di Putrajaya.

Mereka yang ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak menyifatkan proses PRU13 berjalan secara mesra pengundi dan telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Thailand, Apichart Sukhagganound berkata tindakan SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal merupakan langkah terbaik dalam memastikan ketelusan proses pengundian.

“Kami tidak memiliki ini di Thailand. Saya fikir ia cara yang sangat baik,” katanya apabila turut mencuba penggunaan dakwat itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan Kemboja, Dr Sin Chum Bo memuji susun atur di pusat pengundian Parlimen Gombak yang berjalan lancar.

“Di luar, kamu mempunyai stesen di mana pengundi menyemak nama mereka untuk mengetahui tempat mengundi. Di dalam, segalanya diatur sangat baik. Pengundi tahu apa yang perlu dilakukan dan kamu mempunyai kemudahan yang sangat baik untuk golongan tua mengundi,” katanya.

Pesuruhjaya Jawatankuasa Pilihan Raya Thailand, Wisuth Pothiteon merasa tertarik dengan rakyat Malaysia yang mengambil bahagian aktif dalam proses pilihan raya.

“Pengundi di sini sangat aktif. Saya boleh lihat barisan yang panjang dan orang ramai bertenaga untuk mengundi. Ia merupakan suasana yang baik,” kata beliau.

Kamaruddin memberitahu Bernama kehadiran para pemerhati antarabangsa adalah bukti ketelusan SPR dalam mengurus perjalanan pilihan raya serta menunjukkan bahawa SPR tidak gentar menghadapi sebarang bentuk pemantauan seperti ini.

Para pemerhati dijangka melawat dua lagi pusat pengundian di Titiwangsa dan Setiawangsa sebelum ke Putrajaya untuk menyaksikan perkiraan undi mulai petang ini.

Para pemerhati dari Indonesia, Myanmar dan dua wakil Sekretariat Asean juga turut membuat pememantaun.

SPR melantik 1,200 pemerhati tempatan yang mewakili 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau PRU13. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.