7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Pemuda MCA, MIC bidas MPM syor mansuh sekolah vernakular

August 23, 2010

Wee menasihatkan MPM agar “Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar.” — gambar fail
KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Pergerakan Pemuda MCA dan MIC — dua komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan cadangan Majlis Perundingan Melayu (MPM) agar semua sekolah vernakular ditutup sebagai “satu tindakan provokatif” dan “berbau hasutan.”

Pemimpin kedua-dua sayap muda itu berpendapat selain hak itu termaktub dalam perlembagaan, keunikan yang sedia ada seharusnya digunakan untuk meningkatkan keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat, bukannya memburukkan lagi situasi.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menganggap cadangan segelintir pemimpin MPM untuk menghapuskan sekolah vernakular tindakan provokatif dan berbau hasutan.

“Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar,” kata beliau dalam reaksi menerusi ruang siber.

Dalam mesej Twitter malam tadi, Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran membalas mesej rakan sejawatannya dari MIC T. Mohan bahawa: “Saya secara total bersetuju dengan anda. Sekolah vernakular adalah untuk semua. tiga aliran akan meningkatkan daya saing negara.”

Dalam satu lagi mesej, Wee juga meminta campur tangan Perdana Menteri agar tidak membiarkan “pihak-pihak” tertentu menjejaskan perpaduan negara.

Mohan pula berkata, “memansuhkan sekolah vernakular? Malaysia adalah negara unik. Jangan rosakkan harmoni. Perpaduan dalam kepelbagaian.”

Ia sebahagian daripada mesej yang muncul dalam ruang Twitter sejak petang semalam selepas MPM mengeluarkan kenyataan susulan mesyuarat tergempar mereka.

MPM juga mengesyorkan agar Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA).

Selain itu, MPM juga meminta kerajaan menutup semua sekolah vernakular di negara ini.

Dr Chua sebelum ini juga telah meminta kerajaan menambah peruntukan kepada sekolah aliran Cina kerana mendakwa pertambahan murid di samping kepentingan berbahasa Mandarin bagi menarik pelabur dari Cina.

 Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Kamaruddin Kachar berkata, hanya sekolah kebangsaan layak menerima peruntukan kerajaan mengikut perlembagaan.

 “Perlembagaan kata sekolah bukan kebangsaan tak boleh terima peruntukan. Jadi mengapa nak bagi peruntukan (kepada Dr Chua). Kita menuntut sekolah Cina dan Tamil dimansuhkan dan hanya nak sekolah satu aliran sahaja,” katanya.

 Seorang lagi ahlinya Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail menambah, hanya Malaysia masih memiliki sekolah pelbagai aliran.

 “Di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia tak ada sekolah vernakular. Hanya Malaysia ada,” ujar beliau.