Bahasa

Pemuda PAS: Himpun bukti Umno wajib terima hukum Islam termasuk hudud

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Pemuda PAS yang sebelum ini menyokong penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) hari ini menegaskan sudah sampai masa bagi kerajaan Umno-BN mengisytiharkan penerimaan dan pelaksanaan undang-undang Islam khususnya berkait dengan undang-undang murtad dan hudud.

Sehubungan itu, ketuanya Nasrudin Hassan (gambar) berkata, sekurang-kurangnya kerajaan pusat sewajarnya bersedia mengiktiraf, memberi laluan dan sokongan padu kepada Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

“Gesaan ini saya asaskan kepada sikap yang telah diambil oleh Umno sebagai pemegang teraju kerajaan serta NGO Umno yang menyokong gerakan Selamatkan Akidah Ummah dan 10 resolusi yang dihasilkan dari Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam kelmarin,” katanya.

PAS memutuskan untuk tidak menyertai Himpun, yang menerima penyertaan kecil meskipun penganjur menyayasarkan lebih 100,000 orang, atas alasan ia tidak membabitkan penglibatan pihak politik.

Sebelum keputusan itu diambil Pemuda PAS membuat pendirian menyokong penganjuran Himpun.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan memandang serius deklarasi tuntutan 10 perkara oleh Himpun.

Katanya, kerajaan persekutuan akan mengambil tanggungjawab dan memberi keutamaan untuk tindakan selanjutnya berhubung tuntutan itu yang antara lain mendesak penggubalan undang-undang khusus bagi membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam.

Nasrudin berkata, menerima dan melaksanakan undang-undang Islam adalah sebahagian daripada tuntutan akidah Islam yang mesti ditunai oleh setiap individu Muslim.

Katanya, perjuangan Himpun adalah untuk selamatkan akidah dan ianya disokong oleh Umno dan NGO-NGOnya dan oleh itu, “saya percaya inilah masa yang betul dan tepat untuk Umno menyatakan kesediaan mereka bagi melaksanakan undang-undang Islam kerana ia sebahagian dari tuntutan akidah yang mahu diselamatkan oleh mereka.”

“PAS menyokong perjuangan untuk selamatkan akidah malah PAS sejak awal lagi telah menggerakkan kebangkitan untuk menyelamatkan akidah ummah yang telah dicemari oleh faham sekular yang tebal sehingga lahir pegangan politik suku dan agama suku dalam masyarakat ummat Islam di negara kita.

“Pemerintah enggan melaksanakan syariat Islam kerana memahami Islam hanya dalam perkara solat, puasa, haji dan zakat, tidak lebih daripada itu,” kata beliau.

Kata Nasrudin lagi, biarpun gerakan tersebut dianggap menongkah arus, PAS mendepani pelbagai bentuk halangan dan cabaran serta menyerap tekanan demi masa depan akidah ummah.

“Himpun hanya benar-benar berjaya apabila semua NGO yang bergabung di bawahnya menyatakan komitmen tinggi untuk terus melangkah, menggalas perjuangan memartabatkan syariat Islam di atas tanah air kita.

“Sementara parti politik seperti Umno yang mempunyai kuasa dan mandat memerintah negara, sayugianya bertindak lebih dari sekadar menyokong agenda Himpun untuk menyelamatkan akidah,” katanya.

Nasrudin menambah, bahkan Umno mestilah memanfaatkan seluruh keupayaan dan kekuatannya selaku parti utama dalam pemerintahan negara untuk mendaulatkan syariat Islam dalam pelbagai aspek peraturan dan perundangannya demi memastikan agenda menyelamat akidah ummah benar-benar praktis dan berkesan.

“Ia boleh dimulakan dengan sokongan padu kepada kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II,” katanya dengan merujuk kepada pendirian pentadbiran Nik Aziz mahu kerajaan persekutuan membenarkan pihaknya melaksanakan undang-undang itu.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.