Bahasa

Pemuda Umno hormati keputusan mahkamah tetapi tak sokong keganasan Bersih 2.0

Oleh Nomy Nozwir
July 25, 2012

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Pemuda Umno menghormati apa jua keputusan mahkamah akan tetapi tidak bermakna menerima perbuatan yang dilakukan oleh penunjuk perasaan Gabungan Pilihan Raya Adil Dan Bersih (Bersih 2.0), kata ketuanya, Khairy Jamaluddin (gambar).

Menurut beliau, sebagai rakyat yang menghormati institusi mahkamah, beliau secara terbuka menerima keputusan mahkamah yang mengatakan bahawa Bersih 2.0 adalah pertubuhan yang sah.

“Pun begitu, pertubuhan yang sah tak bermakna mereka boleh buat apa yang mereka suka seperti merempuh pagar, dan mencederakan pihak polis, itu perbuatan yang kami (Pemuda Umno) tidak boleh terima.

“Sebagai rakyat, saya yakin dengan keputusan mahkamah kerana mereka lebih arif dengan undang-undang,” kata beliau selepas menghadiri jamuan berbuka puasa dengan Sukarelawan Pemuda Barisan Nasional (BNYV) di Jalan Telawi, Bangsar malam tadi.

Bersih 2.0 semalam diisytiharkan sebagai pertubuhan yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berkenaan dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin merayu kepada mahkamah agar dibatalkan status sah Bersih 2.0, Khairy berpendapat bahawa itu terpulang kepada KDN sendiri untuk membuat keputusan.

“Saya percaya KDN juga mempunyai hak untuk merayu kepada mahkamah dan biarlah mahkamah yang menentukan.

“Saya akan tetap terima apa jua keputusan,” kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi.

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi