Bahasa

Pemuda Umno nafi serang ceramah Anwar di Gombak, hanya demonstrasi aman

Oleh Nomy Nozwir
December 05, 2012

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pemuda Umno menafikan terlibat menyerang ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak semalam, dan hanya berdemonstrasi aman di hadapan bilik gerakannya, kata ketua pemuda Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut Megat, demonstrasi aman berlangsung di hadapan bilik gerakan Umno Gombak Batu 8 1/2 itu kemudian bertukar ganas apabila sebahagian dari penyokong Pakatan Rakyat (PR) bertindak membaling objek seperti batu-bata, kuali dan tong air ke arah pemuda Umno.

“Kami hanya buat demonstrasi aman di depan bilik gerakan kami, tetapi mereka membaling tong air, kuali, batu-bata sehingga seorang pemuda Umno kena sembilan jahitan akibat terkena batu-bata,” kata Megat yang dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Beliau menegaskan bahawa mereka tidak memulakan pergaduhan sepertimana didakwa oleh pembangkang.

“Pembangkang biasalah, dia punya cerita... saya ingin menjelaskan tidak ada pun seperti yang dituduh oleh pembangkang.

“Yang kami tak faham, kenapa mereka nak buat ceramah depan pusat kami?” katanya.

Mengenai tuduhan timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bahawa Umno menggunakan orang silat untuk mengugut orang awam, Megat berkata bukan semua yang berdemo itu adalah orang silat.

“Bukan semuanya adalah orang silat, kalau ada pun orang silat, mereka tu ahli pemuda Umno. Saya sendiri pun orang silat juga,” katanya lagi.

Megat Zulkarnain juga menafikan bahawa pemuda Umno menyerang bas Jelajah Merdeka Rakyat milik PKR dengan cat dan batu, dengan mengatakan bas itu tidak ada dalam kejadian.

“Kami langsung tak nampak bas, Anwar datang naik kereta. Macam mana nak kata kami serang bas?

“Ingat kami pemuda Umno tak ada kerja lain selain serang bas?” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Rosly Hassan berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada individu yang tercedera serta mendakwa keadaan terkawal semasa insiden berlaku.

“Tiada laporan polis setakat ini dan keadaan terkawal,” kata Rosly semasa ditemui The Malaysian Insider ditempat kejadian.

Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama, sebelum ini di Lembah Pantai turut berlaku kejadian sama apabila ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu sehingga menyebabkan ada hadirin yang tercedera.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi