Bahasa

Pemuda Umno serah memo bantahan Anwar sokong Israel

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 24, 2012

Gambar memorandum pemuda umno yang dibakar individu tidak dikenali di Hq PKR hari ini. — Gambar oleh Mohd Farhan Darwis Gambar memorandum pemuda umno yang dibakar individu tidak dikenali di Hq PKR hari ini. — Gambar oleh Mohd Farhan Darwis PETALING JAYA, 24 Feb -- Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan protes bantahan dan penyerahan memorandum kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menuntut supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

 

Anwar sebelum ini menyatakan “Menyokong sepenuhnya keselamatan Israel” seperti laporan temuramah yang disiarkan syarikat akhbar berkenaan.

Protes yang bermula sekitar jam 3.30 petang itu diketuai oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid, dan turut disertai oleh exco kanan sayap pemuda Umno, MCA, dan MIC.

“Memorandum ini diserahkan sebagai tanda protes terhadap sokongan Anwar terhadap Israel.

“Kami kecewa beliau menyokong pembunuhan masyarakat Muslim di Palestin,” kata Megat.

Dianggarkan 50 peserta berhimpun di hadapan pejabat PKR dengan membawa sepanduk bertulis “Anwar + PKR = Keldai Israel” dan melaungkan “Hidup, Hidup, Hidup Palestin, dan “Hancur, Hancur, Hancur Anwar, serta “Hancur PKR.”

Memorandum tersebut diserahkan pada jam 4.30 petang, namun, menurut Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azin, memorandum tersebut tidak diterima.

Bagaimanapun, memorandum itu kemudiannya ditemui sudah dibakar oleh individu yang tidak dikenali apabila polis dan semua peserta bersurai.

Menurut pengawal keselamatan pejabat PKR, ketika kejadian, dia pergi ke tandas dan apabila kembali ke mejanya, dia melihat memorandum itu sudah terbakar.

Ketika demonstrasi tersebut, 65 anggota polis daripada cawangan IPD Petaling Jaya mengawal keadaan bagi memastikan keadaan terkawal.

Sementara itu, Timbalan OCPD Petaling Jaya, Tuah Masron berkata, protes berkenaan bukanlah satu perhimpunan, sebaliknya hanya protes penyerahan memorandum.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi