Bahasa

Pencapaian Pandalela warnai kejayaan atlet M’sia bagi tahun 2012

December 26, 2012

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Kejayaan demi kejayaan yang dicipta atlet negara dalam pelbagai acara sukan telah banyak menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang 2012.

Tidak kira di peringkat mana sekali pun, atlet negara telah membuktikan kemampuan mereka bersaing bukan sahaja untuk kepuasan peribadi tetapi yang lebih penting bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia.

Pandalela Rinong anak Pamg — Gambar failPandalela Rinong anak Pamg — Gambar failMewarnai pencapaian yang harus dibanggakan rakyat Malaysia ialah pungutan satu pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik London yang diperoleh menerusi Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Pandelela Rinong Pamg (terjun). 

Biarpun tidak banyak kilauan pingat diraih atau sasaran pingat emas pertama Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu tidak kesampaian, pencapaian tersebut adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan temasya sebelum ini.

Ini kerana, pada temasya Olimpik empat tahun lepas di Beijing, China, Malaysia hanya meraih satu perak, dan meskipun kejayaan kali ini menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, namun ia diraih dalam dua acara berbeza.

Jadi, ia pencapaian luar jangkaan kerana sejak atlet negara menyertai temasya berkenaan pada 1956, hanya acara badminton yang menyumbangkan pingat kepada Malaysia.

Malah, pencapaian menakjubkan Pandelela, gadis Bidayuh dari Bau, Sarawak yang mencipta sejarah dengan meraih pingat gangsa dalam acara terjun menjadikan beliau atlet wanita pertama Malaysia merangkul pingat dalam temasya Olimpik.

Kejayaan Malaysia berkongsi kedudukan dengan lima negara lain di tempat ke-63 dari 85 negara yang meraih pingat pada temasya itu, juga dianggap baik jika dibandingkan dengan kontinjen lain, antaranya negara asal Olimpik, Greece.

Sementara itu, pencapaian atlet paralimpik negara tidak kurang hebatnya apabila Malaysia memenangi sebutir pingat perak menerusi pemanah, Hasihin Sanawi dan satu gangsa menerusi Muhammad Ziyad dalam acara melontar peluru.

Kejayaan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik London itu adalah pencapaian terbaik atlet istimewa tersebut sejak mereka menyertai temasya berkenaan.

Jaguh badminton dunia, Chong Wei masih terus cemerlang di pentas antarabangsa walaupun beliau gagal menterjemahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik London selepas tumpas kepada musuh ketatnya, Lin Dan dari China. 

Kejayaannya merangkul beberapa gelaran sepanjang tahun ini meletakkan Chong Wei kekal sebagai pemain nombor satu dunia, sesuatu yang jarang dilakukan pemain

Malaysia untuk memegang status itu bagi tempoh yang lama iaitu sejak 2008 walaupun ada kalanya ranking beliau jatuh tetapi kembali ke nombor satu.

Selepas mengecap pelbagai kejayaan dalam arena badminton, Chong Wei, 30, menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya yang juga bekas pemain wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo, selepas 11 tahun mengharungi pelbagai cabaran sebagai pasangan kekasih.

Mereka mula bersua muka ketika bersama-sama di kem badminton kebangsaan 2001 di Kuala Lumpur apabila menjadi pemain pelapis bagi skuad negara dan pada tarikh 9 Nov lepas, mereka disatukan sebagai suami isteri pada satu majlis yang disifatkan sebagai “wedding of the year”. 

Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David juga terus memahat nama sebagai pemain ‘luar biasa’ dalam sukan squasy apabila kekal sebagai pemain wanita nombor satu dunia, gelaran yang diraihnya sejak 2006. 

Walaupun rankingnya ada kalanya jatuh, Nicol tetap unggul sebagai pemain skuasy wanita terbaik dunia dengan pelbagai gelaran juara dalam genggamannya tahun ini.

Malaysia juga boleh meletakkan harapan kepada pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin untuk menaikkan nama Malaysia di gelanggang sukan pemotoran dunia apabila beliau turun beraksi dalam saingan MotoGP 2013.

Kejayaan pelumba Air-Asia-SIC-Ajo itu meraih dua podium, masing-masing di GP Malaysia dan GP Valencia memperlihatkan beliau antara pelumba yang perlu diberi perhatian dalam saingan MotoGP musim depan.

Ini terutamanya selepas dinobatkan sebagai ‘Pelumba Paling Meningkat 2012’; pemilihan untuk anugerah itu dilakukan oleh laman rasmi Kejuaraan MotoGP Dunia, www.motogp.com menerusi program pemilihan ‘After the Flag’ setiap tahun. 

Muhammad Zulfahmi bukan saja melakar kemenangan dengan meraih tempat kedua di Sepang dan ketiga di Valencia tetapi musim 2012 juga memperlihatkan dia berjaya mencatat tiga masa terpantas di GP Belanda, GP Malaysia dan GP Valencia sekali gus memberi gambaran betapa musim depan amat dinanti-nantikannya.

Kecemerlangan jaguh boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek menjulang kejuaraan Piala Dunia QubicaAMF di Wroclaw, Poland awal Disember ini, pula melengkapkan koleksi gelaran utama pemain boling kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Malaysia pernah mengecapi kejayaan dalam semua saingan peringkat tertinggi termasuk Kejohanan Dunia, namun gelaran juara Piala Dunia tidak pernah terjangkau oleh mana-mana pemain negara.

Dalam arena sukan tempatan, saingan bola sepak Liga Malaysia mencetuskan fenomena baharu apabila Kelantan dinobatkan sebagai juara treble kejohanan bola sepak berprestij di negara ini.

Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada perlawanan akhir, turut unggul sebagai juara Liga Super serta Piala FA dan kejayaan itu menyamai pencapaian Kedah yang melakukannya pada 2007 dan 2008.

Namun, kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012 apabila terkandas di peringkat separuh akhir selepas tumpas kepada Thailand, ternyata mengecewakan peminat sukan tempatan.

Anak buah Datuk K Rajagobal itu gagal mengekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka dua tahun lepas apabila tumpas 1-3 secara agregat kepada Thailand.

Meskipun pelbagai kejayaan dicipta, tahun 2012 juga tidak sunyi daripada kontroversi dalam beberapa jenis sukan.

Pada April lepas, peminat bola sepak tanah air terutama penyokong Kelantan dikejutkan apabila Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa digantung dua setengah tahun.

Hukuman ke atas Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, kerana beliau didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Feb lepas.

Penggantungan terhadap Annuar itu menjadikan beliau individu ketiga menjadi ‘mangsa’ hukuman FAM selepas dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang digantung kerana mengkritik FAM.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sering dilanda masalah terus mencetuskan kontroversi semasa proses pemilihan pucuk pimpinan baharunya pada September lepas.

Mesyuarat Agung Tahunan KOM bermula dalam suasana kecoh susulan pertikaian sama ada ia harus diteruskan atau ditunda dan bukan itu sahaja, calon Presiden KOM yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyuarakan perasaan tidak puas hati berikutan mesyuarat tersebut ditutup oleh pengerusi yang juga Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum keputusan undian diumumkan.

Pada pemilihan itu, Shahidan gagal mempertahankan jawatan Presiden KOM apabila ia kini disandang Zainal Abidin, manakala Timbalan Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim turut kecundang mengekalkan jawatan itu apabila ia kini dipegang  Datuk Wan Hisyam Wan Salleh.

Dalam keghairahan negara meraih pengiktirafan dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa, Malaysia kehilangan tokoh sukan tersohor, Tan Sri Hamzah Abu Samah yang meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Hamzah, 88, yang banyak mewarnai arena sukan tempatan serta membawa Negara ke persada antarabangsa, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan akibat sakit tua.

Berikutan penglibatan aktifnya dalam arena sukan, Allahyarham semasa hayatnya telah dilantik menjadi presiden bagi beberapa persatuan sukan tempatan dan antarabangsa.

Presiden seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu semasa hayatnya pernah memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dan kemudian Presiden Kehormat AFC, Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta ahli kehormat seumur hidup Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi presiden kepada beberapa persatuan sukan tempatan seperti Persatuan Kriket Malaysia (1969-1991), Persatuan Bolasepak Malaysia (1984-1988) dan Persatuan Taekwondo Malaysia (1987-1999).

Malaysia juga kehilangan legenda badminton dan Ahli Pemasyhuran MOM Datuk Punch Gunalan yang meninggal dunia pada 15 Ogos lepas. Mendiang yang berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat barah.

Turut meninggalkan peminat sukan tempatan ialah legenda bola sepak negara, Tan Sri Abdul Ghani Minhat yang meninggal dunia akibat komplikasi selepas pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 Sept lepas.

Allahyarham yang begitu terkenal dengan gelaran ‘Raja Bola Sepak’ meninggal dunia pada usia 77 tahun.

Pencapaian atlet Malaysia sepanjang 2012 memberi sinar harapan kepada peminat sukan tempatan bahawa banyak lagi kejayaan mampu dicapai pada tahun depan.

Sudah semestinya, Sukan SEA 2013 di Myanmar akan menjadi fokus utama peminat sukan tanah air untuk melihatkan kontinjen Malaysia melakar kejayaan gemilang di pentas antarabangsa. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi