Bahasa

Penceroboh tentera Sulu enggan berganjak dengan tuntutan

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia sedang membuat rondaan di Tanjung Labian, berhampiran tempat di mana lebih 100 orang lelaki bersenjata sedang berkampung di Lahad Datu, Sabah. — Gambar ReutersKapal Tentera Laut Diraja Malaysia sedang membuat rondaan di Tanjung Labian, berhampiran tempat di mana lebih 100 orang lelaki bersenjata sedang berkampung di Lahad Datu, Sabah. — Gambar Reuters

Agbimuddin yang dipetik berkata kepada radio Filipina, Radio Inquirer jam 9 pagi tadi berkata setuju untuk berunding secara damai tetapi hak mereka perlu dipastikan terbela.

“Ya, kami mahu berdamai.

“Tapi ia hanya selagi hak kami tidak diambil daripada kami,” kata Agbimuddin.

Pemimpin tersebu yang mengaku sebagai Askar Kesultanan Sulu juga tidak menolak akan berlaku pertumpahan darah sekiranya mereka diserang oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Tiada jalan lain selain mempertahankan diri.

“Terus berjuang atau mati,” kata  Agbimuddin lagi.

Dalam pada itu, Agbimuddin juga membidas kenyataan oleh Presiden Filipina Benigno Aquino kepada Kesultanan Sulu bahawa mereka akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya tidak menamatkan pencerobohan di Sabah tersebut.

“Kami hanya lakukan apa yang kami rasakan betul. Saya rasa tiada undang-undang yang menghalang kamu daripada menuntut perkara yang betul,” ujar beliau lagi.

Ketua penceroboh juga menegaskan bahawa tujuan mereka mendarat di perkampungan tersebut bukan untuk mencari persengketaan, memandangkan kedua-dua negara menganut agama sama iaitu Islam.

Pada 13 Februari lepas, pasukan keselamatan Malaysia menahan sekumpulan warga asing bersenjata yang berpakaian tentera kerana menceroboh perairan Lahad Datu, Sabah.

Jumaat lalu, Manila menggesa sekumpulan 100 warga negara itu yang bersenjata dan kini dikepung pasukan keselamatan Malaysia di pesisir pantai berhampiran Lahad Datu, Sabah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di tanah air mereka.

Setiausaha Ketiga dan Naib Konsul Kedutaan Besar Filipina di Kuala Lumpur Johann Veronica M. Andal berkata pasukan tentera dan polis negara itu kini memantau serta bertukar maklumat dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia dalam usaha mencari penyelesaian segera insiden itu.

Sabah merupakan sebahagian dari Kesultanan Sulu sehingga Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888.

Walaubagaimanapun, hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan Sabah kemudiannya menjadi tanah jajahan Borneo Utara sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.