Bahasa

Pencerobohan Sabah: Semangat patriotik rakyat memuncak

March 11, 2013

LAHAD DATU, 11 Mac — Pencerobohan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina di Sabah membuka mata masyarakat bahawa tanggungjawab menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

Insiden berdarah yang menyebabkan lapan anggota pasukan keselamatan negara terkorban itu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Reaksi pelbagai pihak  menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog antaranya meluahkan rasa marah dengan kumpulan penceroboh sehingga ada antara mereka yang menawarkan diri untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan serta-merta dan bersama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

Meskipun ada pihak yang menuduh isu pencerobohan itu sandiwara kerajaan yang ditunjangi Umno, rakyat termasuk penyokong parti pembangkang, mengutuk serangan kejam pengganas terbabit dan mahu semua pihak tidak mempolitikkan perkara berkenaan serta menggesa rakyat bersatu padu mempertahankan Malaysia.

Rakyat sedar betapa perlunya Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, dipertahankan daripada anasir jahat yang menggugat keharmonian semua kaum dan kestabilan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas memberi keyakinan kepada rakyat di Sabah bahawa kerajaan pimpinannya akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Negeri di Bawah Bayu.

Pencerobohan kumpulan pengganas yang didalangi Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu itu dianggap sangat memalukan bangsa Sulu dan dikecam etnik Suluk Sabah, yang menzahirkan taat setia mereka kepada kerajaan untuk mempetahankan kedaulatan Sabah menerusi satu memorandum kepada Perdana Menteri.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussein berkata pada masa ini rakyat negara sedar peri pentingnya bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Adalah menjadi fitrah manusia sebegitu, apabila terjadi sesuatu perkara barulah muncul kesepaduan,” katanya ketika dihubungi Bernama. “Sekarang mereka mula sedar bahawa isu ini bukanlah satu sandiwara.

“Ini adalah ancaman kepada kita semua dan bukan (penduduk) Lahad Datu sahaja. Pada masa ini saya lihat semangat patriotik sangat memuncak sehingga cerita-cerita mengenai pilihan raya umum ke-13 tenggelam.”

Beliau berkata persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan negara mulai terpadam apabila rakyat menyedari tugas menjaga keamanan bukan satu tugas mudah.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula berharap semangat patriotik itu yang memuncak sekarang, bukan perkara bermusim.

“Ini adalah soal keselamatan, kedaulatan dan keamanan negara. Saya percaya tidak ada seorang pun rakyat negara ini yang menyokong penceroboh sebaliknya berdiri teguh bersama-sama pasukan keselamatan negara.

“Semangat patriotik perlu sentiasa disemai dalam apa jua keadaan dan tidak boleh bersifat bermusim,” katanya.

Sementara itu seorang belia Kampung Tanjung Labian di sini, Ali John Junaidi, 27, berkata dia amat menghargai jasa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Malaysia menjaga keselamatan Sabah.

“Saya amat marah dengan kejadian ini. Sayang sekali keadaan yang sebelum ini aman, menjadi huru-hara dan ramai penduduk menjadi takut. Saya sekarang faham tugas anggota polis dan tentera betapa susahnya  menjaga keselamatan negara.

“Saya amat mencintai Malaysia dan jika boleh saya mahu sumbangkan sesuatu yang bermakna untuk negara,” katanya.

Saodah Madjusa, 26, yang juga dari kampung sama, berpendapat sudah tiba masanya semua rakyat bersatu padu untuk memastikan Malaysia terus kekal aman.

“Saya tak mahu hidup seperti pelarian. Ini adalah tanah air kita, kenapa pula kita yang perlu lari. Saya akan pertahankan tanah air saya. Jika kita bersatu padu, sudah tentu tiada pihak yang boleh menggugat keamanan kita,” katanya.

Saodah berharap supaya pasukan keselamatan segera menghapuskan saki-baki kumpulan pengganas. Gerakan Operasi Daulat yang memasuki hari keenam hari ini mengesahkan 54 penceroboh militan terbunuh manakala 91 orang ditahan di beberapa kawasan di pantai timur Sabah dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu.

Lapan anggota polis terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi