Bahasa

Pendapatan isi rumah ‘terus melonjak hasil transformasi’

Malaysia mencatatkan pertumbuhan tinggi 5.6 peratus, meskipun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran luar dan kitaran ekonomi dunia. - Gambar failMalaysia mencatatkan pertumbuhan tinggi 5.6 peratus, meskipun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran luar dan kitaran ekonomi dunia. - Gambar failKUALA LUMPUR, 31 Mac — Purata pendapatan bulanan Isi Rumah di Malaysia kira-kira RM5,000 pada masa ini berbanding RM4,025 pada 2009, adalah antara hasil awal pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Penganalisis politik rata-rata berpendapat GTP dan ETP yang dilaksanakan kerajaan bukanlah satu slogan kosong kerana kerana data laporan pelaksanaannya membuktikan ia berjaya melonjakkan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.

Mengikut laporan pencapaian GTP dan ETP 2012 dan laporan kad kemajuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibentangkan baru-baru ini, kedua-dua inisiatif tersebut mula menampakkan hasil ketara dalam peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Soial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berpendapat langkah kerajaan meningkatkan program-program seperti GTP dan ETP merupakan inisiatif bijak dan tepat bagi negara mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kalau dibandingkan lima tahun lepas, memang peningkatannya sangat ketara di mana gaji kakitangan awam dah naik. Kini kita (juga) ada gaji minimum untuk pekerja swasta. Sememangnya transformasi ini perlu bagi membawa negara ke landasan negara maju ke arah wawasan 2020,” katanya kepada Bernama.

Katanya, Malaysia mencatatkan pertumbuhan tinggi 5.6 peratus, meskipun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran luar dan kitaran ekonomi dunia.  Pertumbuhan ekonomi yang kukuh secara berterusan menjana peluang pekerjaan dan menggerakkan pelbagai aktiviti ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat Malaysia, kata beliau.

“Jika dilihat dengan mata kasar, taraf hidup dan kuasa membeli rakyat semakin meningkat dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini,” katanya.  Kerajaan pimpinan Najib, katanya, juga berjaya dalam pengagihan pertambahan hasil negara kepada rakyat dengan lebih saksama mengikut keperluan sektor seperti pendidikan, prasarana bekalan air, elektrik dan jalan raya, sekaligus meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Merujuk negeri Sabah dan Sarawak, Dr Jeniri yang berasal dari Sarawak berkata banyak kawasan di kedua-dua negeri dilihat maju ke depan terutamanya kawasan bandar seperti Kuching dan Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan perlu memberi penekananan dan mengambil langkah mengurangkan kadar inflasi di Sabah dan Sarawak yang semakin meningkat berikutan tindakan sesetengah pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati.  “Kalau masalah ini dapat dibendung dengan memperketatkan lagi undang-undang dan penalti, saya rasa rakyat Sabah dan Sarawak akan menikmati kehidupan yang lebih selesa,” kata Dr Jeniri.

Mengulas janji pembangkang meningkatkan pendapatan setiap isi rumah RM4,000 sebulan dalam tempoh lima tahun, beliau berkata tiada apa yang istimewa kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telahpun hampir mencapai tahap berkenaan.  Kerajaan juga merealisasikan dasar Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dengan menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100, Baucer Buku 1Malaysia serta Bantuan Tayar 1Malaysia.

Prof Madya Dr P. Sundramoorthy dari Pusat Pengajian Sains Sosial (Kriminologi), Universiti Sains Malaysia berkata semua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dan pelbagai bantuan kewangan adalah tepat pada masanya dan amat relevan bagi mengurangkan beban kos kehidupan yang semakin meningkat.

“Ia adalah langkah progresif yang diambil kerajaan terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melaksanakan pemberian BR1M setiap tahun sebagai satu inisiatif bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sebagai bukti mengenai komitmen kerajaan bagi membantu golongan miskin.

Katanya inisiatif itu perlu dikekalkan pada masa depan tanpa mengira landskap politik. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.