Bahasa

Pendedahan video mengenai Taib akan menjadi bahan kempen PKR Sarawak

Screenshot video mengenai Taib.Screenshot video mengenai Taib.KUALA LUMPUR, 21 Mac — PKR akan menggunakan video Global Witness (GW) yang mengaitkan penglibatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam rundingan mendapatkan tanah secara tidak sah sebagai bahan kempen mereka untuk memecahkan cengkaman ketua menteri Barisan Nasional (BN) itu di negeri terbesar Malaysia.

Ketua PKR Sarawak Baru Bian memberitahu The Malaysian Insider, partinya akan menterjemahkan video pendedahan oleh kumpulan aktivis alam sekitar global itu kepada beberapa bahasa tempatan dan memuatkannya dalam cakera padat (CD) sebelum disebarkan ke rumah panjang di seluruh negeri untuk mencapai kumpulan pengundi di kawasan pendalaman.

“Mulai sekarang, video itu kita akan buat sari kata dalam BM (Bahasa Melayu) dan Iban, disalin (menjadi CD) dan edar di seluruh Sarawak,” kata peguam tersebut kepada The Malaysian Insider.

“Saya percaya bila kita edarkan di kampung-kampung ada kesan (kepada pengundi), ia perkara yang kita sudah timbulkan beberapa tahun sebelum pilihan raya negeri ... tapi banyak orang tidak percaya. Tapi (sekarang) ia dah keluar dari mulut keluarga (Abdul Taib) sendiri.”

GW, sebuah organisasi berpengkalan di United Kingdom pada Selasa mengeluarkan bukti video yang didakwa sebagai penyelewengan tanah di Sarawak melibatkan Abdul Taib dan keluarganya, dalam sebahagian daripada klip video yang disiarkan oleh siaran berita antarabangsa Al-Jazeera.

Dalam penyiasatan dirahsiakan, GW dalam video tersebut menyamar untuk berunding dengan sepupu Abdul Taib dan beberapa individu untuk mendapatkan ribuan hektar tanah hutan, yang didakwa aktivis yang berpengkalan di London itu sebagai pendedahan rasuah secara sistematik di negeri terbesar Malaysia itu.

Dengan pengedaran salinan video itu melalu cakera padat dan mengedar salinan rakaman video berkenaan ke kawasan kampung dan rumah panjang, Baru Bian percaya ia berupaya meningkatkan sokongan rakyat Sarawak terhadap PKR.

Klip video sepanjang 16 minit bertajuk “Inside Malaysia’s Shadow State”, penyiasat GW, yang berlakon sebagai pelabur asing, merakamkan sedutan perbualan mereka dengan peguam dan saudara Abdul Taib, untuk membeli tanah dengan keuntungan besar dan bakal menjejaskan beribu penduduk asal tinggal di situ.

Menurut Bian, PKR beserta beberapa badan bukan kerajaan NGO juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa seperti yang didedahkan dalam rakaman video tersebut.

“Ini pendedahan agak serius, kita ada bukti bukti kukuh, itu pasal kita ambil berat,” katanya lagi, dan menambah, laporan itu akan dibuat oleh ADUN Krian Ali Biju, dirinya sendiri, dan juga ADUN Bukit Lintang, See Chee How.

Sebagai respon kepada pertuduhan tersebut, Abdul Taib (gambar) mencadangkan saudaranya dan lain-lain yang terlibat dalam video GW mempromosikan diri mereka sendiri sebagai agenya untuk mendapatkan ganjaran.

“Ok saya lihat yang dikatakan adalah bukti. Bukankah itu seseorang yang cuba untuk menawarkan diri mereka sebagai egen untuk mendapatkan ganjaran daripada saya?” kata ketua menteri Sarawak apabila ditanya oleh wartawan di Kuching pada Selasa.

“Ia tiada kena mengena dengan saya. Saya rasa mereka sedikit nakal. Mereka menggunakan kuasa untuk memburukkan nama saya.”

Komen beliau dimuatnaik di laman sosial YouTube selepas itu.

Abdul Taib, 76, telah menjadi ketua menteri selama 32 tahun bermula pada Mac 1981.

Kekayaan peribadinya telah menimbulkan pelbagai kontroversi, dengan pengkritik mendakwa beliau mendapatkannya melalui cara yang diragui.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.