Bahasa

Pendidikan: Kerajaan hanya buat pengumuman kosong, kata Ideas

Oleh Md Izwan
December 18, 2013

Badan bebas Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) membidas kerajaan kerana banyak membuat pengumuman kosong yang tidak menunjukkan hasil dalam meningkatan kualiti pendidikan negara.

Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-55 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan (gambar), berkata terlalu banyak pembaharuan ‘berilusi’ yang dicipta menerusi pelbagai pengumuman oleh kerajaan.

"Tetapi kita kena ingat ini hanya pengumuman. Realitinya, tidak ada apa-apa yang berlaku dan kita tidak lihat satu sistem yang memberi faedah besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, keputusan skor PISA menunjukkan sistem pendidikan negara berhadapan dengan krisis.

Prestasi pelajar berusia 15 tahun ketinggalan jauh di belakang negara-negara kurang maju seperti Vietnam.

"Ini adalah satu titik penting.

"Akses kepada pendidikan tidak lagi isu utama. Isu sebenar adalah akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya merujuk kepada keputusan terbaru Pisa itu.

Wan Saiful berkata, kebanyakan ibu bapa pelajar tidak menyedari hakikat ini, malah ramai yang mengganggap kualiti pendidikan masih berada pada tahap baik.

"Antara 80-90 peratus ibu bapa berpendapat sekolah berjalan dengan baik dan guru mengetahui subjek mereka dengan baik.

"Mereka percaya kerajaan memberikan pendidikan yang baik. Ia nampak satu penemuan yang positif, tetapi realitinya ia sangat membimbangkan," katanya.

Pisa adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh dunia.

Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.

Pisa menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.

Purata min skor ialah 494 dan kajian itu menguji 510,000 pelajar tahun lalu merangkumi tiga bahagian peperiksaan – matematik, sains dan keupayaan membaca. Malaysia memperolehi min skor 421.

Pelajar Malaysia dikatakan mendapat pencapaian yang teruk dalam bahagian membaca dengan skor 398 (purata:496), bahagian matematik, Malaysia mendapat 421 (purata:494) dan sains, 420 (purata:501).

Malah, Vietnam berada di tangga ke-17 dalam kajian itu dengan markah 511 manakala Shanghai-China mendapat 613 untuk mendapat tempat pertama dalam ranking itu. - 18 Disember 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi