Bahasa

Penduduk dinasihat jangan bertindak sendiri dalam menangani serangan harimau

KOTA BHARU, 12 Feb — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan penduduk di kawasan yang terlibat dengan serangan harimau kumbang di Gua Musang dua hari lepas, tidak bertindak sendiri bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Pengarahnya Rahmat Topani berkata mereka sepatutnya memaklumkan kepada pegawai Perhilitan bagi mengambil tindakan terhadap haiwan itu.

“Ini untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti serangan balas daripada haiwan liar itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Rahmat diminta mengulas kejadian seorang buruh ladang Indonesia yang nyaris maut apabila diserang seekor harimau kumbang ketika menjalankan kerja meracun rumput di kawasan ladang sawit milik Tanah Rancangan Felda Perasu, di Gua Musang dua hari lepas.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Alip Abil, 33, cedera di beberapa bahagian badan, lengan kanan, tangan kiri, kepala dan punggung akibat dicakar harimau sebesar kambing dengan ketinggian kira-kira 1.3 meter.

Buruh berkenaan menerima 50 jahitan dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).

Rahmat berkata pihaknya telah menghantar seorang pegawai bersama beberapa anggota untuk menyiasat kejadian itu dan meninjau kawasan terlibat bagi mengesan harimau itu.

“Kami ada kaedah untuk menangkap atau mengesan haiwan itu bagi mengelakkan ia terus berkeliaran dan menganggu penduduk di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata haiwan berkenaan biasanya tidak mengganas jika pergerakannya di kawasan habitatnya tidak diganggu.

Mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], harimau kumbang adalah sejenis haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan tidak boleh dipelihara atau dilesenkan kecuali mendapat kebenaran khusus dari Perhilitan.

“Mereka yang memelihara haiwan itu tanpa kebenaran boleh didakwa mengikut akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya. — Bernama

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments