Penduduk Kuantan gagal cabar AELB lulus lesen Lynas
KUALA LUMPUR, 12 April — Sepuluh penduduk tempatan hari ini gagal dalam percubaan mereka mencabar Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) daripada meluluskan lesen sementara operasi (TOL) kepada syarikat Australia, Lynas Corp untuk memulakan operasi kilang nadir bumi di Kuantan.
Hakim Datuk Rohana Yusuf berkata beliau menolak hujah kumpulan itu untuk semakan semula kehakiman berdasarkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) serta menteri sains, teknologi dan inovasi telah meneliti perkara itu yang dibangkitkan lima penduduk Pahang.
“Parlimen akan meneliti perkara sama melalui PSC...ia merupakan saluran terbaik untuk melihat dan meneliti aduan-aduan yang dikemukakan,” katanya kepad mahkamah.
“Mahkamah tidak boleh menerima proses rayuan yang belum selesai dan apa yang diwujudkan Parlimen akan menjadi tidak bermakna.”
Beliau menambah ia boleh menimbulkan pertikaian yang akan mengakibatkan berlaku “kekeliruan dan memalukan.”
Rohana juga tidak bersetuju dengan peguam yang mewakili penduduk tempatan, Tommy Thomas, yang berhujah sebelum itu bahawa PSC tiada kaitan dengan permohonan yang dibuat.
Ia adalah satu pembaziran sumber awam dan dana jika semua agensi kerajaan bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Thomas memberitahu pemberita kliennya akan memfailkan rayuan.
Penduduk tempatan itu, yang tinggal antara tiga dan 18km dari kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan telah memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman pada 17 Februari berkaitan TOL yang diberikan kepada Lynas.
Permohonan itu turut memohon perintah bagi membatalkan keputusan AELB pada 30 Jan bagi mengeluarkan lesen sementara kepada Lynas Malaysia.
Selain AELB, turut dinamakan sebagao responden adalah Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).




