Bahasa

Penduduk Muar dan Ledang perlu patuhi perintah darurat, kata Subramaniam

June 23, 2013

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata penduduk Muar dan Ledang di Johor perlu mematuhi sepenuhnya perintah darurat bencana jerebu yang diisytiharkan di dua daerah itu hari ini bagi mengurangkan risiko kesihatan yang berpunca daripada masalah jerebu.

"Saya minta penduduk pastikan mereka duduk di dalam rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan mereka.

"Ada pelbagai jenis racun dan bahan lain termasuk debu dan zarah atau bahan-bahan yang lebih besar yang kalau disedut boleh menimbulkan masalah khasnya kepada mereka yang mempunyai penyakit berkaitan paru-paru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan warga Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan darurat bencana jerebu di dua daerah itu selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan.

Subramaniam berkata melainkan ada sebab kecemasan, penduduk dua daerah itu perlu sentiasa berada di dalam rumah dan mereka yang mempunyai kemudahan alat pendingin hawa digalakkan menggunakan 'recycling mode'.

Katanya kementerian akan memantau keadaan jerebu di seluruh negara termasuk dua daerah berkenaan sehingga keadaan kembali pulih dan selamat.

Beliau berkata semua klinik kesihatan sudah diarah supaya sentiasa  bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan pesakit yang datang mendapat rawatan disebabkan fenomena ini dengan memastikan segala kemudahan mencukupi.

"Di peringkat kementerian, kita ada bilik operasi yang berfungsi dari pagi hingga jam 5  petang setiap hari bagi memantau keadaan kawasan-kawasan terlibat daripada segi kesihatan," katanya.

Mengenai penduduk Muar dan Ledang yang mungkin perlu keluar bekerja, beliau menjelaskan apabila darurat diisytiharkan bermakna majikan perlu menutup sementara operasi termasuk kilang.

Katanya hanya mereka yang bertugas dengan jabatan berkaitan kecemasan dibenarkan keluar bekerja.

Sementara itu di Muar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor Ismail Mohamed mengingatkan petani dan peladang mematuhi arahan tidak melakukan pembakaran terbuka.

"Harus mematuhi arahan kerajaan agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menjadikan keadaan jerebu menjadi bertambah buruk lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA (M) Berhad.

Mengenai kebakaran ladang nanas dan kelapa sawit milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) di Batu 13, Air Hitam di sini beliau meminta petani dan peladang di kawasan terbabit membantu 76 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran di ladang itu yang kini masuk hari keempat. - Bernama, 23 Jun, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi