Bahasa

Penduduk Pantai Sabak cemas angin kuat melanda pantai

KOTA BAHARU, 9 Jan — Angin yang bertiup kencang tengah hari tadi mencemaskan penduduk yang tinggal di kawasan pantai terutama di Kampung Sabak dan Pantai Irama, Bachok.

Angin kencang beserta ombak besar luar biasa melanda kira-kira setengah jam.

Sehubungan itu, kira-kira 500 murid, guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan Sabak dengan diketuai Guru Besar Ahmad Shahir Mohd Hassan mengadakan solat hajat dan membaca Yasin di dewan sekolah agar dihindari dari fenomena alam itu.

Ahmad Shahir berkata beliau sempat merakamkan beberapa minit kejadian ribut kencang yang melanda bahagian depan sekolahnya melalui telefon bimbitnya.

“Saya nampak bagaimana gumpalan awan tebal berpusar-pusar sebelum diikuti angin kencang yang menggoyang dan hampir menumbangkan pokok hiasan di kawasan sekolah,” katanya.

Berikutan itu beliau membuat laporan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Seorang penduduk di pinggir Kuala Pantai Sabak, Nik Hassan Nik Mohamad, 64, berkata beliau menyedari angin kencang itu kira-kira 11.45 pagi apabila melihat kepulan awan gelap di sebelah timur laut pantai itu.

“Kejadian ini agak mencemaskan dan tambah membimbangkan lagi apabila mendapat tahu mengenai ribut tropika yang diramal akan melanda kawasan pantai pimur dua hari lepas,” katanya.

Sementara itu tinjuauan Bernama di Pantai Irama mendapati kebanyakan peniaga tidak berniaga kerana tidak ramai pengunjung yang datang.

Norshahida Ismail Khan, 28, berkata beliau tidak membuka gerai makanannya semalam kerana tidak ramai yang mengunjungi pantai peranginan itu.

“Hari ini saya cuba berniaga tetapi tidak ramai yang berkunjung,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Mohd Roslee Mamat memberitahu Bernama pihaknya sedang membuat pemantauan di kawasan pantai bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Terbaharu, kami mengadakan perjumpaan Sabtu lepas dan membincangkan perkara itu. Kami lega apabila Jabatan Meteorologi mengesahkan negeri ini bebas dari ancaman ribut tropika itu,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.