Bahasa

Penembusan jalur lebar Sabah kini cecah 56.8p

April 06, 2013

BEAUFORT, 6 April — Kadar penembusan jalur lebar di Sabah kini mencecah 56.8 peratus, kata Pegawai Tugas--Tugas Khas kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Beliau berkata peningkatan itu hasil pelbagai inisiatif serta program yang dilaksana kerajaan Barisan Nasional, terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, kadar penembusan itu semakin menghampiri penembusan jalur lebar isi rumah nasional yang kini di tahap 66.5 peratus.

“Sehingga akhir tahun lepas, pelanggan telefon selular pula adalah sekitar 41 juta kadar penembusan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pejabat SKMM Cawangan Beaufort di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Sokongan mewakili pengerusi SKMM Tengku Zaib Raja Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Che Azemi Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Abdul Ghaffar A.Tambi serta Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan K.Juslly Elis.

Mohd Nazri berkata pelbagai langkah, yang berteraskan strategi penawaran dan permintaan, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara sedang giat dilaksanakan.

Beliau berkata ini termasuk memperluas liputan ke seluruh negara menggunakan pelbagai teknologi.

Bagi memperluaskan lagi penggunaan jalur lebar di kawasan luar atau pinggir bandar, katanya, kerajaan membangunkan lebih banyak Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dan Kampung Tanpa Wayar (KTW).

Di Sabah, sejumlah 35 PI1M beroperasi sepenuhnya bagi menyediakan kemudahan

ICT dan capaian Internet kepada komuniti setempat di samping mewujudkan 841 KTW.

“Dari aspek peningkatan pemilikan peranti capaian jalur lebar, kerajaan melalui SKMM juga telah dan sedang mengagihkan lebih 178,736 Komputer 1Malaysia kepada pelajar sekolah dari keluarga berpendapatan rendah serta individu yang layak di Sabah,” katanya. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi