Bahasa

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah 9 Okt

KOTA BARU, 29 Ogos — Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini ialah pada 9 Oktober, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Tan Sri Abi Musa As’ari Mohamed Nor.

Katanya mereka adalah sebahagian daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim haji tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat sempena Program Ihya Ramadan di sini hari ini, beliau berkata Tabung Haji akan menghantar dua kumpulan rombongan kebajikan dan kesihatan bagi mengendalikan jemaah Malaysia ketika berada di Tanah Suci.

“Penghantaran kedua-dua rombongan itu penting bagi memastikan mutu perkhidmatan Tabung Haji dapat dipertingkatkan setiap tahun bagi menjaga kepentingan dan kebajikan jemaah,” katanya.

Ditanya mengenai wabak influenza H1N1, beliau berkata Malaysia tidak menghadapi masalah wabak itu tahun ini walaupun pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi masih membuat pemantauan terhadap kesan wabak itu kepada jemaah.

“Bagaimanapun, sebagaimana prosedur biasa kita akan mewajibkan setiap jemaah mendapat suntikan vaksin untuk selesema bermusim yang dicatatkan dalam buku kesihatan yang dilampirkan bersama pasport jemaah,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.