Bahasa

Pengakap Sarawak digesa jalin rangkaian dengan organisasi lain

KUCHING, 13 Jun — Pergerakan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak, yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 tahun depan, mampu menarik minat dan penyertaan generasi muda melalui jalinan rangkaian dengan organisasi lain.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) berkata lebih 30,000 anggota pergerakan itu di negeri ini boleh ditambah berdasarkan sokongan berterusan rakyat Sarawak sejak ia ditubuhkan pada 1913.

Sokongan itu akan terus dinikmati jika pergerakan pengakap negeri boleh berkongsi cita-cita serta nilai tinggi mereka dengan yang lain, seterusnya menarik minat lebih ramai orang muda menyertainya, kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam amal anjuran cawangan tersebut di sini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng, penaung cawangan itu, merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengakap Negara Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh, Presiden Majlis Pengakap Negeri Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom dan beberapa menteri kabinet negeri.

Taib, yang juga Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, berkata cawangan itu sepatutnya memanfaatkan sambutan ulang tahun seabad berkenaan sebagai peluang untuk terus mempromosi pergerakan tersebut.

Sementara itu, Mawan berkata satu perkhemahan sempena seratus tahun cawangan itu akan diadakan di Merapok, daerah Lawas sebagai satu daripada aktiviti untuk menyerlahkan sambutan ulang tahun tersebut.

Beliau berkata aktiviti lain termasuk melancarkan Anugerah Pengakap Sarawak dan penganugerahan pingat. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.