Bahasa

Penganalisis: Fokus bajet kepada pengundi muda, luar bandar belum tentu menguntungkan BN dalam PRU 13

Oleh Ida Lim
September 30, 2012

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mempertaruhkan apabila menyampaikan Bajet 2013 mesra belia dan luar bandar untuk meningkatkan sokongan pilihan raya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi penganalisis berkata inisiatif jangka pendek tidak cukup untuk mendapatkan sokongan popular pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bajet RM256.1 bilion yang dibentangkan pada hari Jumaat lalu, telah digambarkan sebagai “bajet pilihan raya” oleh pentadbiran Najib yang sudah bersedia untuk melawan dengan pembangkang persekutuan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU akan datang.

Pengarah eksekutif pengumpul suara bebas Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, mengatakan Bajet ini mensasarkan dua kumpulan utama — penduduk luar bandar dan berpendapatan rendah, dan pengundi muda yang bakal mengundi pertama kali.

“Yang pertama, adalah pengundi luar bandar dan berpendapatan rendah yang biasanya sumber sokongan kuat terhadap BN,” katanya, sambil menambah bahawa Bajet ini mungkin mengakibatkan gabungan BN terus mendapat sokongan kuat daripada kumpulan ini.

Beliau berkata Bajet ini mungkin mempunyai impak lebih besar kepada pengundi berpendapatan rendah, oleh kerana “banyak isi rumah akan ketinggalan” dalam pemberian kerajaan, memetik Selangor sebagai contoh, di mana purata pendapatan isi rumah adalah lebih daripada RM4000.

Pusingan kedua pemberian RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan diberikan kepada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, manakala skim itu kini juga akan memberi RM250 kepada orang bujang berusia 21 tahun keatas dan berpendapatan kurang daripada RM2,000.

Beliau berkata bagi pengundi muda, faktor “jurang luar bandar-bandar” masih akan membuat perbezaan.

Di kawasan luar bandar, “kos sara hidup cenderung lebih rendah... wang bertahan agak lama dan mempunyai impak yang lebih besar terutamanya di Sabah dan Sarawak”, kata beliau.

Akan tetapi, pemberian wang tunai tidak pergi terlalu jauh di kawasan bandar, katanya.

Beliau berkata rebat bagi pembelian telefon pintar adalah “pedang bermata dua” bagi BN, dengan mengatakan bahawa orang ramai akan mendapat “akses kepada Internet” dan “tidak ada kawalan tentang jenis berita mereka dapat”.

Di bawah Bajet, mereka yang berusia antara 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM3, 000 akan mendapat diskaun sebanyak RM200 apabila membeli telefon pintar.

Tetapi dua penganalisis lain tidak bersetuju dengan Ibrahim, mengatakan bahawa Bajet ini berkemungkinan tidak mempunyai banyak kesan kepada keputusan pengundi luar bandar ‘mengenai siapa yang mereka sokong.

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata beliau mempunyai keraguan kuat tentang “sejauh mana pengumuman ini boleh diterjemahkan kepada undi”.

Beliau menolak kira kesan pemberian di bawah Bajet untuk golongan bergaji rendah, menunjukkan bahawa harga gula akan naik sebanyak 20 sen sekilogram dengan pengurangan dalam subsidi kerajaan.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata “pengundi tidak perlu mengundi orang-orang yang memberikan mereka wang”, mengatakan bahawa pengundi mengekalkan hak mereka untuk memilih.

“Melainkan Belanjawan Jumaat lalu mengatakan ini bukanlah bayaran one-off tetapi jika kita terus berkuasa, kita akan terus memberi atau meningkatkan pemberian ... mungkin hasilnya akan berbeza,” kata Dr Agus.

Dr Lim Teck Ghee, pengarah Pusat Inisiatif Dasar, berkata “jumlah yang diberikan kepada penduduk luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah adalah sangat kecil.”

Beliau menambah bahawa Bajet ini tidak menyelesaikan masalah gaji rendah, pekerjaan rendah produktiviti dan kekurangan peluang untuk maju, mengatakan bahawa pengundian kumpulan ini berkemungkinan “tidak” dipengaruhi.

Katanya lagi, mereka masih perlu berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup.

Apabila mengulas mengenai pengundi muda, beliau berkata: “Saya akan sangat terkejut jika mereka mengubah fikiran.”

“Mereka akan menyedari ini adalah cubaan untuk membeli undi,” kata Lim menerangkan pemberian dalam Bajet “lebih kepada gimik”.

Beliau juga berkata bahawa dalam percubaan untuk menggembirakan semua orang, kerajaan berhadapan risiko “ menyenangkan sangat sedikit orang”, sekali lagi menunjuk kepada jumlah “kecil” setiap pemberian.

Ibrahim juga menyatakan bahawa “pengundi menjadi semakin mahir memahami pemberian dari ahli-ahli politik”.

Beliau berkata bahawa apa-apa kesan ke atas pengundi dengan Bajet “mungkin terhad” oleh kerana “saya amat mengesyaki orang sudah tahu akan ada wang tunai”.

Beliau juga “teragak-agak” untuk mengatakan bahawa akan ada “sokongan melantun ketara kepada BN”.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi