Bahasa

Penganalisis: Menjelang PRU 13, penting untuk Umno bersatu

Oleh Clara Chooi dan Amin Iskandar
November 29, 2012

Presiden UMNO Najib telah berkali-kali menekankan kepentingan perpaduan, kesederhanaan dan kesetiaan kepada ahli parti Umno, kata penganalisis politik.Presiden UMNO Najib telah berkali-kali menekankan kepentingan perpaduan, kesederhanaan dan kesetiaan kepada ahli parti Umno, kata penganalisis politik.KUALA LUMPUR, 29 Nov — Delegasi Umno akan melangkah masuk ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini untuk mempersiapkan strategi terakhir bagi pilihan raya akan datang tetapi mereka perlu berhati-hati daripada bercakaran antara satu sama lain, kata penganalisis dan ahli parti tersebut.

Penganalisis mengingatkan kunci utama Barisan Nasional (BN) kali ini adalah mengambil langkah berjaga-jaga dimana mereka perlu menyeimbangkan kemelut dalam parti sebelum pilihan raya serta pada masa sama kelihatan kuat dan bersedia menghadapi ujian di peti undi.

Mereka juga menegaskan parti terbesar dalam negara tidak boleh hanya fokus untuk kaum Melayu – dimana PAS turut mendapatkan sokongan sebahagiannya tetapi melakukan terbaik bagi memancing undi masyarakat bukan Melayu yang kelihatan cenderung kepada Pakatan Rakyat (PR).

Melihatkan situasi sukar yang sangat berbeza antara Umno dan PR - PR perlu membuktikan keupayaan mereka, manakala BN pula perlu mengekalkan kuasa mereka.

“Kerana kalau fokus kepada satu kaum, kamu hanya akan popular kepada satu kaum sahaja sedangkan kedudukan (Umno) sekarang ini menunjukkan betapa pentingnya untuk dapatkan sokongan daripada semua kaum.

“Jadi ini yang penting untuk pemimpin Umno lakukan untuk memenangi hati golongan pertengahan. Kerana golongan pertengahan ini adalah penentu atau 'determining factor' dalam menentukan siapa yang menang dalam pilihan raya akan datang,” kata penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff kepada The Malaysian Insider.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum A Jawan bersetuju dengan pandangan Agus dan mengakui selain kekal menjadi tunjang kepada politik orang Melayu, Umno perlu menyaingi PR untuk menunjukkan mereka juga mampu menjaga kaum minoriti lain.

“Umno memang memperjuangkan hak Melayu, itu semua faham kerana Melayu adalah majoriti tetapi dia perlu mengambil kira masyarakat Cina, India, Sabah dan Sarawak yang juga mengharapkan Umno,” katanya.

Dengan membuktikan mereka mampu menjaga masyarakat kaum lain, Umno akan meluaskan sokongan mereka dan memperkukuhkan lagi parti tersebut, katanya.

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak walaubagaimanapun menekankan perpaduan, kesederhanaan dan kesetiaan kepada parti adalah kunci utama kepada Umno untuk menghadapi saat sukar ketika ini.

Semasa memberi taklimat presiden kepada delegasi Umno dua hari lalu, pesanan tersebut diulangi berkali-kali oleh Najib.

Menurut beberapa delegasi yang mendengar taklimat tersebut, Najib menegaskan bahawa ahli parti perlu merapatkan barisan dan bersatu atau bersiap sedia untuk menghadapi kekalahan.

“Beliau (Najib) mengingatkan ahli parti tentang perkara yang boleh menghancurkan parti seperti sabotaj dalaman.

“Beliau juga mengatakan apa yang penting adalah kami berikan sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang terpilih untuk mewakili kami dan menegaskan jika tidak bersatu, siapa sahaja calon pasti akan kalah,” kata Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kepada pemberita diluar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Namun perkara tersebut bukan tugas mudah kepada lebih 5,000 delegasi walaupun pemimpin tertinggi berulangkali mengingatkan mereka supaya bersatu dan mengamalkan kesederhanaan kerana semua ahli juga mahu diiktiraf sebagai pemimpin.

Lebih menarik lagi, rata-rata mahu melihat nama mereka terpilih sebagai calon dan ramai juga ahli mendesak kepimpinan parti supaya mengeluarkan senarai awal calon.

Tetapi dalam kenyataan baru-baru ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara tersebut akan hanya mengakibatkan sabotaj di bahagian tertentu yang dianggap sebagai bermasalah dikalangan kepimpinan parti.

Pengakuan pemimpin kepada terdapat masalah di beberapa bahagian tertentu dalam parti tersebut dan keputusan parti tidak mengeluarkan senarai calon memperlihatkan lagi sejauh mana masalah itu dalam Umno.

Salah seorang pemimpin Perak yang ditemui The Malaysian Insider semalam mengakui, “terdapat beberapa kawasan” berterusan memberi masalah kepada Umno walaupun semua ahli parti telah bersumpah bai'ah.

“Dalam parti, masih terdapat elemen sabotaj memandangkan mereka merasakan sudah menyumbang kepada parti dan mereka mahu menjadi calon. Apabila mereka tidak terpilih, mereka mula sabotaj orang lain,” kata Prof Agus.

“Dalam parti wujud unsur Cah Keting, wujud unsur sabotaj, dan masing-masing merasakan ada sumbangan kepada parti dan mahu menjadi calon. Jadi bila tidak dapat itu mereka akan mula sabotaj,” tegas Prof Agus.

“Ini isu lama dalam parti dan perlu diselesaikan secara teliti,” tambah beliau.

Terdapat juga pemimpin dalam parti yang mahukan senarai calon dikeluarkan awal termasuklah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Terdapat banyak spekulasi kedudukan Khairy sebagai calon dalam pilihan raya depan ini. Ahli parlimen Rembau tersebut dilaporkan berkata pada Januari lalu untuk tidak mempertahankan kerusinya tetapi awal bulan ini berkata sedia untuk mempertahankannya jika dipilih oleh perdana menteri (PM).

Menteri Besar (MB) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang dikatakan bakal diberi kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang mempersoalkan kesahihan dakwaan tersebut selepas ditanya tentang hal itu.

“Siapa beritahu kamu?” soal beliau, sambil ketawa.

Beliau bukan orang pertama yang menjawab sedemikian apabila ditanya. Tiada sesiapa yang berani membuat spekulasi dimana mereka akan bertanding sejak beberapa bulan lalu kecuali ada sesetengah yang mendedahkan secara rahsia dan apabila ditanya enggan menjawab soalan tersebut.

Rata-rata pemimpin yang ditemui semalam berkata ahli sedia membuang kepentingan sendiri dan sedia menerima sebarang keputusan oleh pemimpin parti.

Timbalan menteri Umno Dr Mohd Puad Zarkashi memberikan alasan faktor ini adalah mengapa sesetengah ahli mahukan senarai calon dikeluarkan lebih awal.

“Saya rasa ahli sedia menerima keputusan parti,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ahli majlis tertinggi Umno Datuk Abdul Azeez Rahim pula berkata ahli Umno sudah “sedar” dan maju ke depan, serta memberi fokus untuk bertarung di pilihan raya nanti.

“Kami tidak akan fokus siapa akan jadi calon. Kami tidak akan sentuh perkara itu. Ini adalah rahsia PM dan presiden parti.

“Jadi apa yang akan kami lakukan ialah menunaikan janji kami dan bekerja demi kemenangan,” kata beliau.

Ahli parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pesanan PM sangat dihormati dan diterima semua ahli parti. 

Beliau berkata delegasi Umno mengangkat “sumpah bai'ah” semasa perhimpunan tahun lalu dan sejak itu ahli mula menyedari betapa pentingnya untuk setia kepada parti tanpa mengira siapa yang dipilih bertanding dalam pilihan raya.

“Kesedaran sudah meningkat, ahli sudah tahu betapa pentingnya tidak terlibat mensabotaj parti. Saya yakin dengan kesediaan ini akan diterjemahkan pada pilihan raya nanti. Kami tidak akan bercakaran antara satu sama lain,” katanya.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi