Bahasa

Penganalisis: Pertelingkahan Saiful, bapa dalam isu Liwat II tidak akan merubah keputusan PRU 13

Oleh Zurairi AR
March 11, 2013

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Dakwaan konspirasi politik oleh bapa Saiful Bukhari Azlan mengenai aduan anaknya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan mempunyai kesan yang kecil dalam pilihan raya umum dan akan ditenggelamkan oleh isu lain, kata penganalisis.

Persoalan juga ditimbulkan mengenai masa pendedahan dilakukan Azlan Mohd Lazim pada Jumaat lalu, yang mengatakan terdapat “konspirasi jahat” di belakang pertuduhan liwat kedua pemimpin pembangkang itu dan kemudiannya memohon maaf ke atas keluarga Anwar.

“Saya percaya semuanya berkait dengan pilihan raya, bapa Saiful sendiri pun sanggup keluar dan bercakap,” kata pengarah Merdeka Center for Opinion Research Ibrahim Suffian (gambar) kepada The Malaysian Insider.

“Ia berlaku sebelum pilihan raya, jadi akan terdapat banyak masa (bagi isu ini) akan dibincangkan semasa waktu berkempen.”

Ibrahim menyatakan kecewaannya isu hodoh ini sekali lagi bermain di kepala, yang akan terus mensensasikan senario politik dalam negara.

Beliau mencadangkan PKR mempunyai paling banyak kelebihan, kerana kenyataan Azlan melibatkan kepimpinan negara, dengan mengaitkan Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam konspirasi tersebut.

“Anwar dituduh pada masa lalu, tetapi kenyataan bapa Saiful mengubah jalan cerita setakat ini,” kata Ibrahim.

“Ia memberikan kesan menunjukkan Anwar tidak bersalah,” tambah beliau.

Pembebasan Anwar tahun lalu meningkatkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan kebanyakan rakyat Malaysia amnya melihat pendakwaan tersebut dengan keraguan.

Sentimen tersebut diluahkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengatakan reputasi Anwar semakin bersih dengan pendedahan tersebut.

“Pendustaan satu masa akan terbongkar menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar  upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar),” kata Nik Aziz dilaporkan oleh Sinar Harian pada Sabtu.

Pensyarah sains politik UiTM Asri Salleh berpendapat isu tersebut boleh dimainkan dimainkan oleh kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan PR, dengan kedua-dua pihak mampu menggunakan isu ini untuk memenangi atau kalah terhadap sokongan.

“Isu ini tidak akan bertahan lama, kejap je panas,” kata Asri kepada The Malaysian Insider.

“Ada banyak lagi isu seperti Ops Daulat,” katanya lagi, merujuk kepada operasi menghalau penceroboh di Lahad Datu, yang masuk hari ketujuh.

Menurut Asri, orang ramai pasti mempertikai kredibiliti Azlan selepas beliau membuat kenyataan “U-turn”, seperti penyiasat persendirian P Balasubramanium dalam akuan bersumpah keduanya mengenai pembunuhan Altantuya Shariibuu pada 2006.

Balasubramaniam, yang dikenali sebagai PI Bala, membuat akuan bersumpah (SD) kedua sehari selepas akuannya yang pertama, pada 3 Julai 2008 berkenaan pembunuhan Altantuya pada tahun 2006, dimana dua komando elit polis dituduh dan akan bakal menghadapi hukuman mati.

Azlan yang sebelum ini sentiasa bersama anaknya, dan merayu kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk merayu semula kes Anwar dibicara semula Januari lalu, bersumpah akan “melawan hingga akhirnya” untuk keadilan anaknya.

Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, timbalan dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengkritik Azlan kerana bercanggah dengan dakwaannya sebelum ini.

“Sukar untuk melihat apakah yang mahu disampaikan oleh Azlan. Jika benar seperti yang didakwa, sudah pasti ia akan didepani bersama, bukan secara sendirian kerana anaknya yang terlibat,” kata Sivamurugan yang dipetik dari laporan Sinar Harian pada hujung minggu.

Dalam satu sidang akhbar dikawal ketat pada hari Jumaat, Azlan berkata plot telah dirancang oleh pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri

dan telah direkayasa untuk mencemarkan imej Anwar dengan satu lagi pertuduhan liwat, pertuduhan kedua bagi pemimpin pembangkang itu semenjak hilang jawatan dalam kerajaan pada tahun 1998.

Lelaki berusia 60 tahun itu tanpa anaknya pada sidang akhbar yang dipanggil oleh anggota parlimen PKR Sungai Petani Datuk Johari Abdul. Pada lewat petang, Saiful menafikan kenyataan bapanya.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Anwar tidak bersalah dan membebaskannya atas tuduhan liwat terhadap Saiful, 27 di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara diantara 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ahli politik veteran itu, yang sebelum ini menyaman Saiful kerana menuduhnya liwat, menarik balik saman itu, mengatakan reputasi beliau kembali pulih selepas dibebaskan mahkamah.

Jabatan Peguam Negara telah merayu pembebasan, bagaimanapun, dan pendengaran di Mahkamah Rayuan telah ditetapkan pada 22 Julai.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi