7-day Archive: 
The Malaysian Insider

Bahasa

Pengasas ESQ berhasrat temui mufti Wilayah Persekutuan

July 28, 2010

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Pengasas program motivasi ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) Dr Ary Ginanjar Agustian berhasrat diberi peluang bertemu Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Beliau yang datang ke negara ini dari Indonesia untuk menjelaskan isu pengharaman ESQ oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baru-baru ini, turut menafikan pengisian modul syarikat itu terpesong daripada akidah dan syariat Islam.

“Saya menghargai Mufti Wilayah tetapi saya lebih menghormatinya kalau diberi kesempatan untuk menjelaskan kepada Mufti Wilayah. Apa pun, saya menghormati dan mentaati Mufti Wilayah serta peraturan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Ary Ginanjar juga menafikan dakwaan beliau seorang yang berfahaman liberal serta pluralisme, sebaliknya menjelaskan bahawa sebagai orang Islam, beliau menunaikan kewajipan seperti bersolat lima waktu sehari, menunaikan haji dan membaca Al-Quran.

Ketika mempertahankan ESQ yang sudah bertapak selama 10 tahun di Indonesia dan empat tahun di Malaysia, beliau berkata modul program motivasinya menerapkan nilai-nilai Al-Quran dan Hadis dalam setiap sesi latihan bagi melengkapkan diri dalam urusan dunia dan akhirat.

Isu ESQ menjadi kontroversi setelah MAIWP mengharamkan modul latihan kursus motivasi anjuran syarikat itu pada 17 Jun lepas selepas mendakwa ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Antara alasan yang diberikan ialah syarikat itu menggunakan pemikiran Danah Zohar dari Universiti Harvard, penggunaan perkataan “God Spot” serta menyamakan bacaan Al-Fatihah sebanyak 17 kali dengan amalan Bushido oleh orang Jepun yang mengamalkan ajaran Buddha.

Mengulas lanjut, Dr Ary Ginanjar berkata Danah Zohar menulis bukunya pada 2000 manakala beliau menulis buku ESQ pada 1999, walaupun kedua-duanya diterbitkan dalam tahun yang sama.

Mengenai perkataan “God Spot” yang dianggap mengelirukan, beliau berkata ia sudah dikeluarkan daripada buku dan modul latihan ESQ.

Turut hadir pada sidang akhbar itu pengarah ESQ Cawangan Malaysia Mohammed Razib Abu Bakar, pengerusi Panel Syariah dan Akidah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman serta Pengurus Besar ESQ Marhaini Yusoff. — Bernama