Bahasa

Pengguna kelas pertengahan akan meningkat kepada 4.8 billion menjelang 2030

Pada masa ini terdapat 1.8 bilion pengguna kelas pertengahan di dunia, dan 3 billion lagi dijangka menjelang 2030.  – Gambar fail.Pada masa ini terdapat 1.8 bilion pengguna kelas pertengahan di dunia, dan 3 billion lagi dijangka menjelang 2030. – Gambar fail.Pengguna kelas pertengahan akan meningkat kepada 4.8 bilion menjelang 2030 dengan 95% daripada mereka dari negara membangun, kata wakil khas Setiausaha Luar United Kingdom mengenai perubahan iklim, Prof Sir David King.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 1.8 bilion pengguna kelas pertengahan di dunia, dan 3 billion lagi dijangka menjelang 2030.

"Sembilan puluh peratus daripada pertambahan itu adalah daripada rantau Asia Pasifik. Bandaraya di negara membangun menghadapi cabaran paling getir," kata Sir David pada forum "Low Carbon Cities (Opportunities and Challenges) di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Britain, Simon Featherstone semalam.

Beliau berkata penduduk di kawasan bandar di Asia dianggarkan mencecah 3.3 billion dan 1.3 billion di kawasan bandar di Afrika menjelang 2050.

"Semua negara harus bekerjasama bagi menangani kadar penggunaan sumber dunia sekarang, dan dalam hubungan ini, pembangunan bandar secara mapan adalah penting untuk mengawal pertambahan penduduk dunia," kata beliau.

Beliau berkata memandangkan peningkatan pengguna kelas pertengahan, beberapa cabaran dihadapi termasuk hakikat bahawa 95% daripada pengeluaran makanan terlalu bergantung kepada minyak, 80% daripada jumlah penduduk dunia tinggal di kawasan yang keselamatan perairan menghadapi ancaman.

Sir David berkata 60% daripada ekosistem dunia sama ada mengalami kemerosotan atau diguna pakai secara tidak mapan dan 11% daripada kawasan sumber yang masih ada mungkin lenyap menjelang 2050.

"Berdasarkan perubahan iklim seperti peningkatan paras laut dan suhu, adalah jelas kita harus mengubah secara radikal tingkah-laku kita," kata beliau.

Ketua pegawai eksekutif Green Tech Malaysia, Ahmad Hadri Haris, yang bertindak sebagai moderator, berkata sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk bekerjasama menangani perubahan iklim sebelum terlambat.

Ahmad Hadri berkata tidak ada model pembangunan bandar yang lebih baik daripada Iskandar Malaysia, yang menyediakan pelan pembangunan kehijauan yang lengkap dari 2006 hingga 2025.

"Saya berpendapat ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.

Kita harus melihat keseluruhan perspektif bagi bandaraya di Malaysia dan bagaimana kita boleh melaksanakannya secara mapan," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perancangan dan Pematuhan Iskandar Malaysia, Maimunah Jaffar berkata pihaknya menggerakkan rancangan asas Masyarakat Rendah Karbon yangh mengandungi pelan tindakan 12 perkara bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon.

"Malaysia sudahpun mendahului usaha dalam mengurangkan karbon dengan pelaksanaan dasar-dasar dan insentif. Tetapi usaha itu masih bersifat sukarela dan bukan di peringkat pengawasan. Jadi terpulanglah kepada pihak berkuasa atau agensi kerajaan sama ada mahu mengambil langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon," kata beliau.

Kira-kira 100 peserta tempatan dan antarabangsa dari sektor kerajaan dan swasta menghadiri forum itu. – Bernama, 18 Februari, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.