Bahasa

Pengikut Syiah dilarang sebar ajaran kepada pengikut ahli Sunnah al-Jamaah

March 09, 2011

Penganut agama Islam di Puchong, Selangor sewaktu Hari Raya Haji. — Gambar failPenganut agama Islam di Puchong, Selangor sewaktu Hari Raya Haji. — Gambar failKUALA LUMPUR, 9 Mac — Pengikut ajaran Syiah di negara ini adalah dilarang sama sekali menyebarluaskan fahaman tersebut kepada pengikut ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi bebas untuk terus mengamalkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata mereka dibenarkan berbuat demikian selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberi kebebasan hak beragama kepada rakyat negara ini.

“Kita tidak melarang pengikut ajaran ini untuk terus beramal, tetapi terdapat akta-akta yang telah diperuntukkan dalam undang-undang syariah di negeri-negeri yang tidak membenarkan ajaran ini disebarkan kepada penganut ahli Sunnah wal-Jamaah yang sedia ada,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail mahu tahu sama ada Syiah merupakan satu ajaran baru atau mazhab baru dan tindakan yang dikenakan terhadap pengikut Syiah.

Jamil Khir berkata walaupun Syiah telah dikategorikan sebagai ajaran menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tidak semua ajaran fahaman itu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

“Oleh sebab itu mereka (pengikut Syiah) tidak boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) yang mahu tahu mengapa pengikut Syiah tidak ditahan di bawah ISA.

Menjawab soalan asal Ismail, Jamil Khir berkata pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membanteras fahaman Syiah daripada terus menular.

Ini termasuk menyebarluaskan fatwa-fatwa yang telah dibuat tentang larangan penyebaran fahaman tersebut, sesi penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah dan media massa, pemantauan dan mengawal bahan-bahan media yang cenderung dalam menyebarkan fahaman Syiah.

Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi agama turut ditingkatkan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peruntukan negeri-negeri yang mewartakan kesalahan penyebaran ajaran Syiah. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi