Bahasa

Pengisytiharan harta mungkin membahayakan keselamatan calon, kata ahli parlimen BN

Oleh Nomy Nozwir
December 23, 2012

Ong berkata pengisytiharan harta juga dilakukan dalam MCA sendiri. – Gambar failOng berkata pengisytiharan harta juga dilakukan dalam MCA sendiri. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Beberapa ahli parlimen Barisan Nasional (BN) berkata pengisytiharan harta secara terbuka oleh calon pilihan raya mungkin membahayakan keselamatan mereka, dengan menjangkakan pilihan raya yang dikatakan paling sengit dalam sejarah negara.

Ahli parlimen BN mengatakan calon boleh dipastikan bersih dengan mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib, yang juga pengerusi BN berkata calon dari gabungan partinya akan ditapis oleh SPRM - pengumuman yang dikatakan oleh seteru politiknya di Pakatan Rakyat (PR) sebagai publisiti semata-mata.

Sesetengah ahli parlimen PR hari ini dilaporkan mangatakan jika calon BN mengisytiharkan harta secara terbuka mereka akan dilihat lebih berkredibiliti, dan berkata tugas SPRM untuk menghapuskan rasuah, dan bukan menapis calon pilihan raya dengan rekod kewangan meragukan.

Tetapi Datuk Abdul Rahman Dahlan dari Umno berkata, pengisytiharan harta tidak perlu dilakukan secara terbuka, kerana harta bersifat peribadi, dan keselamatan bagi mereka yang mewakili rakyat juga perlu dijaga.

“Bagi saya, harta ini personal (bersifat peribadi). Jadi bagi saya memadailah kalau isytihar harta kepada Perdana Menteri. Takkan kita nak canang semua harta kita kepada seluruh rakyat? Kita kena fikirkan keselamatan wakil rakyat itu sendiri,” kata ahli parlimen Kota Belud itu.

Beliau mempersoalkan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang terus menuntut ahli politik BN untuk mengisytiharkan harta, dan pada masa sama pakatan pembangkang itu dan ahli keluarga mereka gagal untuk melakukan perkara sama.

“Bagi saya, pengisytiharan harta tu, pembangkang pun tak buat. Kita tengok wakil rakyat Pakatan Rakyat pun tak buat.

“Saya beri contoh, kerajaan Selangor punya declaration of assets (pengisytiharan harta), dia tak beritahu. Dia cuma beritahu penambahan harta. Di Pulau Pinang, harta wakil rakyat wajib diisytiharkan, tapi harta isteri tak diisytihar,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau bersetuju bahawa aset hanya diisytihar kepada Perdana Menteri yang akan membenarkan pihak SPRM mengambil dokumen pengisytiharan harta sekiranya perlu disiasat.

Pendapat Abdul Rahman itu juga disokong oleh bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Selain dari pengisytiharan harta kepada pengerusi BN, Ong berkata pengisytiharan harta juga dilakukan dalam MCA sendiri.

“Dalam sistem BN, dalam parti sendiri sudah ada proses sebegini, kita semua isytihar harta kepada pengerusi BN.

“Biasanya di dalam sistem kami, anggota pentadbiran sudah declare (isytihar) harta, itu memang perlu,” kata Ong.

Bagaimanapun, Ong berkata, calon tidak semestinya perlu mengisytiharkan harta kepada khalayak ramai, kerana calon tidak semestinya memenangi pilihan raya.

“Calon tidak semestinya perlu isytihar harta, kerana tidak semestinya mereka akan menang.

“Hanya apabila sudah menang barulah mereka perlu isytihar harta,” kata Ong lagi.

Ahli parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, selaku ahli parlimen, beliau mengisytiharkan harta dengan presiden partinya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dan juga Pengerusi BN.

Rohani adalah ahli parlimen dari parti PBB, sebuah parti komponen BN di Sarawak.

“Memadailah jika sekadar mengisytiharkan harta kepada perdana menteri, dan sekiranya berlaku penyelewengan, perdana menteri boleh menyerahkan dokumen pengisytiharan harta kepada SPRM,” katanya lagi.

Beliau berkata, pengisytiharan harta adalah perkara biasa dalam PBB dan juga BN.

“Apa yang lebih penting calon pilihan raya akan tampil dengan bersih bagi mendapatkan keyakinan pengundi,” kata Rohani lagi.

Calon pilihan raya pada masa ini tidak diperlukan untuk mengisytiharkan harta, tetapi bagi mereka yang sudah menjawat jawatan tinggi di dalam perkhidmatan awam, diperlukan untuk membuat pengisytiharan harta kepada perdana menteri.

Dengan pilihan raya yang semakin hampir, rasuah menjadi isu penting kepada pengundi, dengan tuduhan skandal melibatkan kedua-dua BN dan PR sering menjadi berita sensasi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi