Bahasa

Pengundian boleh diadakan pada hari bekerja — Pengerusi SPR

April 09, 2013

PUTRAJAYA, 9 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 nanti diadakan pada hari bekerja walaupun kelazimannya diadakan pada hujung minggu.

“Pengundian boleh diadakan pada mana-mana hari, tetapi SPR perlu menimbangkan banyak faktor sebelum memutuskan tarikhnya,” kata Pengerusi SPR  Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata SPR tidak mahu hari pengundian diadakan pada hari yang  berbetulan ada aktiviti kebudayaan atau upacara keagamaan mana-mana kaum.

Ia juga akan memeriksa dengan Jabatan Meteorologi mengenai ramalan cuaca sebelum memutuskan tarikh pengundian, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada perwakilan asing mengenai pilihan raya umum akan datang.

SPR mengumumkan akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk memutuskan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya umum ke-13.

Abdul Aziz berkata tiada masalah bagi SPR sekiranya pengundian diadakan sama ada pada cuti sekolah, pada hari bekerja atau pada hujung minggu.

Beliau juga berkata daftar pemilih mengandungi nama pemilih berdaftar secara sah dan tiada siapa boleh menghalang mereka daripada mengundi.

“Adalah satu kesalahan serius sekiranya pengundi dihalang daripada mengundi,” katanya.

Daftar pemilih tidak mengandungi nama individu bukan warganegara, berumur bawah 21 tahun dan yang telah meninggal dunia, dan tidak wujud pendaftaran dua kali, katanya.

Abdul Aziz berkata alamat sesetengah orang mungkin berbeza dari tempat mereka tinggal sekarang tetapi mereka bukannya pengundi hantu.

“Mereka adalah pengundi berdaftar yang sah,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata SPR akan menimbangkan untuk menambah jumlah pemerhati asing pada pilihan raya umum di masa depan.

“Kita telah ada jumlah yang mencukupi pada ketika ini (bagi pilihan raya umum ke-13). Jika kami dapat menguruskan mereka dengan baik, kami mungkin menjemput lebih ramai lagi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pilihan raya umum ke-13 akan mempunyai 35 pemerhati dari lima negara anggota Asean iaitu Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Thailand. 

Abdul Aziz berkata ini merupakan kali kedua beliau mengadakan perjumpaan dengan perwakilan asing selepas memberi taklimat kepada mereka mengenai hasil laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

“Tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada memantau proses pilihan raya, dari hari penamaan calon kepada pengumuman keputusan. Tetapi mereka dilarang masuk ke kawasan tertentu seperti pusat pengundian,” katanya. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi