Peniaga dinasihat beli minyak tin elak kehabisan bekalan — Ismail Sabri
BERA, 29 Julai — Golongan peniaga khususnya pengusaha restoran atau gerai makan dinasihat menggunakan minyak masak dalam tin seberat 15 kilogram (kg) bagi mengelak kehabisan bekalan minyak paket terutama menjelang musim perayaan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata ini kerana golongan itu dikatakan berebut dengan orang ramai mendapatkan bekalan minyak paket satu kg sekaligus menyebabkan bekalan berkurang dengan cepat.
“Minyak masak paket satu kilogram (kg) atau yang dibotolkan seberat tiga kg dan lima kg adalah untuk keperluan orang ramai yang tidak terlibat dengan perniagaan.
“Sepatutnya mereka tidak berhak membeli minyak masak paket satu kg kerana ia dibuat untuk keperluan orang ramai yang hanya menggunakan bahan itu di rumah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek durian runtuh kepada 526 isteri peneroka di Felda Sebertak dekat sini hari ini.
Beliau berkata bekalan minyak masak untuk bulan Ramadan dan keperluan Aidilfitri telah ditambah daripada 70,000 metrik tan kepada 77,000 metrik tan bagi menampung permintaan yang meningkat.
Ismail Sabri berkata penggunaan bahan itu meningkat pada bulan Ramadan ini ekoran orang ramai yang sebelum ini tidak pernah berniaga turut berniaga di Bazar Ramadan dan juga untuk membuat kuih raya.
Beliau turut menafikan pandangan sesetengah pihak kononnya minyak masak paket 1kg adalah minyak masak dikitar semula. “Minyak masak dalam paket adalah minyak baru yang sama baik dari segi kualiti dan kandungan nutrisinya dengan minyak masak dalam botol ataupun tin,” katanya.
Beliau juga turut menafikan berlaku kekurangan bekalan gula seperti yang didakwa di beberapa daerah di Terengganu.
“Kekurangan bekalan gula dan juga tepung tidak sepatutnya berlaku, kekurangan itu kemungkinan berlaku kerana peniaga terbabit tidak menjelaskan hutangnya kepada pembekal atau pemborong sehingga menyebabkan bekalan di kedainya dipotong.
“Bagaimanapun saya menasihati pengguna supaya membuat laporan segera kepada penguatkuasa kementerian di kawasan berdekatan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 5,282 isteri peneroka di 14 tanah rancangan Felda di daerah Bera menerima durian runtuh RM5,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM26.4 juta. — Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata ini kerana golongan itu dikatakan berebut dengan orang ramai mendapatkan bekalan minyak paket satu kg sekaligus menyebabkan bekalan berkurang dengan cepat.



