Bahasa

Penyokong berkumpul bantah singkir Husam sebagai exco

KOTA BHARU, 8 Mei — Kira-kira 200 penyokong Datuk Husam Musa hari ini berkumpul secara aman membantah “penyingkiran” beliau dari barisan exco kerajaan negeri Kelantan yang baru. Mereka berkumpul sejak pukul 9 pagi di perkarangan Kota Darul Naim sambil membawa pelbagai sepanduk, tetapi beredar sejam kemudian setelah diarahkan pihak polis.

Mereka juga membantah tindakan tidak menyenarai Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, sebagai exco, di samping menolak pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, sebagai timbalan menteri besar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Husam, yang merupakan Naib Presiden PAS, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor, tetapi kalah di kerusi Parlimen Putrajaya.

Dua hari lalu, ADUN Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketiadaan Husam dalam senarai exco kerajaan negeri mencetuskan polemik politik di Kelantan serta mengejutkan ramai pihak.

Ahmad menjelaskan ketiadaan Husam yang sebelum ini merupakan pengerusi jawatankuasa perancangan ekonomi dan kebajikan negeri, kerana nama beliau tidak mendapat perkenan istana Kelantan.

Husam pula menempelak barisan exco baru itu yang dikatakannya diluluskan tanpa mengikut prosedur. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.