Bahasa

Penyokong BN nazar jalan kaki 680 km ke Putrajaya - Bernama

Seorang pekerja rendah am Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, Mohd Noor Mat, 47, akan menunaikan nazarnya berjalan kaki sejauh lebih 680 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusinya di Kuala Besut dalam pilihan raya kecil Rabu lalu.

Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang menebal menyebabkan Mohd Noor, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong.

Jika tidak ada halangan, bapa tujuh anak berusia antara 4 dan 22 tahun ituakan memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut ke Putrajaya pada 18 Ogos.

"Saya akan cuba mengambil masa selama 12 hari bagi menamatkan perjalanan melalui Kuala Besut ke Kuantan dan Kuala Lumpur sebelum ke Putrajaya," katanya.

Mohd Noor berkata demikian ketika ditemui di Pantai Peranginan Air Tawar di Besut, semalam.

Katanya, niat berjalan kaki ke Putrajaya dilafaz pada hari penamaan calon 12 Julai lalu di depan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh dan wakil rakyat tempatan.

Jika tidak berdepan masalah, Mohd Noor mampu menamatkan perjalanan itu dalam tempoh yang ditetapkan kerana beberapa kali melakukannya sebelum ini.

"Saya pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam empat hari dari Kemaman ke Besut pada 2008 ketika menyahut cabaran Datuk Seri Idris Jusoh yang ketika itu Menteri Besar Terengganu," katanya.

Beliau sudahpun memulakan latihan sejak 10 hari lepas dengan tumpuan di kawasan pantai.

Sebelum ini, beliau banyak menyertai pertandingan berjalan kaki dan menyasar untuk melakukan perjalanan antara 60 hingga 70 kilometer sehari.

Mohd Noor juga akan membawa lencana dan lambang parti sepanjang perjalanannya ke Putrajaya selain mengedar beberapa risalah berkaitan daerah Besut untuk tujuan pelancongan kepada orang ramai.

Beberapa anggota Pergerakan Pemuda Umno Besut dijangka mengiringi beliau bermula 7 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Mohd Noor berharap orang ramai mendoakannya tiba di Putrajaya sehari sebelum sambutan kemerdekaan negara yang ke-56 dan beliau dijangka disambut Khairy.

"Saya juga berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak jika diberi kesempatan," katanya. - Bernama, 28 Julai, 2013.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.