Bahasa

Perak Man akan dibawa balik ke Lenggong, kata Rais

November 10, 2012

LENGGONG, 10 Nov —Kerangka Manusia Perak atau Perak Man akan dibawa balik ke Lenggong selepas segala prasarana dan kelengkapan untuk menempat dan menyimpan kerangka pra-sejarah itu siap kelak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persiapan rapi perlu dibuat sebelum membawa balik kerangka berkenaan yang kini ditempatkan di Muzium Negara di Kuala Lumpur.

“Itu dalam perancangan tetapi prasarananya mesti siap dulu...bangunannya mesti ada, pengawasannya, cara-cara menyimpan serta alat-alat yang tidak membolehkan kerangka itu dicemari perlu kita sediakan.

“Apabila sudah siap barulah upacara pemindahan itu dapat dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Bagaimanapun, Rais berkata tempat untuk mempamerkan Perak Man belum ditentukan lagi.

Kerangka Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990 adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap di Asia Tenggara dengan usia kira-kira 10,000 tahun.

Rais berkata kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah meluluskan RM30 juta bagi menyediakan pelbagai prasarana di Lenggong.  Katanya dengan peruntukan itu, kementerian akan menyediakan perkara-perkara asas seperti tempat pameran, galeri dan pusat informasi seperti yang digariskan di bawah panduan yang ditetapkan Unesco.

Katanya kerja-kerja untuk menyediakan prasarana itu akan dimulakan awal tahun depan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Pengikirafan Lembah Lenggong ini menjadikan Malaysia sebagai tempat tumpuan pengajian purba. Selain daripada antropologi dan arkeologi ia juga sangat penting terhadap kajian pra-sejarah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata dua kawasan iaitu Taman Negara di Pahang dan Batu Caves di Selangor berpotensi untuk diketengahkan sebagai tapak warisan dunia kelak.

“Salah satu ialah kawasan Batu Caves yang akan kita kemukakan tetapi soalnya oleh kerana Malaysia kini menjadi anggota warisan dunia di bawah Unesco, selama dua tahun kita tidak boleh ambil bahagian, kalau tidak ia akan jadi pertembungan kepentingan.  

“Tetapi terdapat kawasan yang telah dikenalpasti terlebih dahulu seperti Taman Negara tetapi penilaian belum dibuat,” katanya.  Pada 30 Jun lepas warisan arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia.

Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas bandaraya bersejarah Melaka dan George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi