PUTRAJAYA, 13 Jan — Masyarakat India perlu mengambil ikthibar bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi sempena perayaan Ponggal yang diraikan Ahad ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Subramaniam (gambar), yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata masyarakat India bijak menggunakan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan yang mengutamakan agenda pembangunan rakyat secara optimum bagi mencapai kemajuan berterusan, lapor Bernama Online.
“Saya yakin perayaan Ponggal tahun ini memberi semangat dan azam baru untuk kita menuju ke arah yang lebih baik dan lebih tinggi terutamanya dalam bidang ekonomi dan pendidikan,” dipetik Bernama Online.
“Saya berharap melalui pelbagai langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, masyarakat India bijak menggunakan peluang-peluang tersebut secara optimum. Sudah pasti kita boleh meningkatkan kedudukan dalam semua aspek,” katanya dalam perutusan Ponggal di sini Jumaat.
Perayaan Ponggal yang disambut pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil diraikan sempena musim menuai bagi menandakan kesyukuran terhadap hasil yang diterima.
Subramaniam berkata sebagai perayaan masyarakat yang menekankan pembaharuan dan visi baru dalam mencapai matlamat yang diinginkan, Ponggal secara umumnya diraikan masyarakat India.
Menurutnya tradisi mengucapkan terima kasih terhadap hasil tuaian yang banyak sebenarnya turut diamalkan oleh kaum lain.






