Perbalahan Karpal-Nasharudin bukti pembangkang tidak bersatu — Chor
PUTRAJAYA, 12 Sept — Langkah Pengerusi DAP Karpal Singh memulakan prosiding fitnah terhadap bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak bersatu, kata Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung.
Beliau berkata pembangkang bukan sahaja berbeza pendirian dalam isu Hudud malah dalam isu-isu lain juga.
“Ini menunjukkan keadaan sebenar ‘keikhlasan’ parti-parti pembangkang sesama mereka sendiri...dan bagaimana anda boleh harapkan mereka untuk membentuk sebuah kerajaan yang berwibawa untuk mentadbir negara?,” soalnya.
Chor, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri kementerian itu di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa Karpal Singh akan meneruskan hasrat menyaman Nasharudin, disebalik bekas pemimpin PAS itu didapati tidak melakukan sebarang kesalahan oleh Majlis Syura PAS pada Ahad.
Perbalahan antara mereka bermula apabila Nasharudin menuduh Karpal Singh sebagai ‘anti-Islam’ kerana menolak hukum Hudud dilaksanakan di negara ini.
Chor juga menegaskan bahawa Karpal Singh ialah satu-satunya pemimpin dalam DAP yang begitu lantang menentang pelaksanaan Hudud, manakala pemimpin tinggi DAP yang lain berdiam diri atas sebab yang hanya diketahui mereka.
Mengenai saman terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung isu air percuma, beliau berkata ia menunjukkan pembangkang sanggup berjanji apa sahaja dengan harapan untuk menjadi popular dan memperoleh undi rakyat, tetapi mereka sebenarnya tidak mampu melaksanakannya.
Sebanyak 711 pengguna di Selangor memfailkan saman itu semalaam, menuntut pampasan hampir RM500,000 daripada tiga pihak termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerana tidak menerima air percuma di bawah skim yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. — Bernama




