Bahasa

Perbincangan sedang berlangsung untuk selesaikan tiga penjuru di Sg Acheh

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Salleh Man mengumumkan parti Islam itu akan meletakkan ketua pemuda PAS negeri Yusni Mat Piah di kerusi itu. - Gambar oleh K.E. OoiPesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Salleh Man mengumumkan parti Islam itu akan meletakkan ketua pemuda PAS negeri Yusni Mat Piah di kerusi itu. - Gambar oleh K.E. Ooi

GEORGE TOWN, 11 April — Pemimpin tertinggi PKR dan PAS akan berbincang untuk menyelesaikan pertarungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh berikutan pengumuman calon oleh kedua-dua parti sepanjang dua hari lalu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, isu ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 20 April.

“Pemimpin kita akan berbincang dan menyelesaikan perkara ini nanti,” katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat DAP Pulau Pinang pagi ini.

Malam tadi, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Salleh Man mengumumkan parti Islam itu akan meletakkan ketua pemuda PAS negeri Yusni Mat Piah di kerusi itu.

Sehari sebelum itu, pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman mengumumkan parti itu akan meletakkan penulis blog yang dikenali sebagai Chegubard atau Badrul Hisham Shahrin di Sungai Acheh.

PAS dan PKR, kedua-duanya dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), telah berada dalam perbincangan mengenai kerusi ini kerana PAS mahu bertanding di kerusi tersebut.

PAS secara tradisinya bertanding di DUN Sungai Acheh sebelum 2008 dan pada Pilihan Raya 2008, mereka meminjamkan kerusi tersebut kepada PKR.

Dalam Pilihan Raya 2008, Datuk Mahmud Zakaria dari Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti kecil 250 undi.

Sebelum itu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga mengatakan perbincangan akan berlaku diantara pemimpin tertinggi PKR dan PAS.

“Adalah lebih baik kepimpinan tertinggi menyelesaikan ini,” katanya.

Pengerusi PR Pulau Pinang itu mengatakan perbincangan mengenai kerusi Sungai Acheh adalah diantara dua parti itu dan yang terbaik adalah dengan membiarkan mereka menyelesaikannya.

 

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments