Bahasa

Percubaan BN mengekang serangan Pakatan membawa risiko dilihat lemah

Oleh Ida Lim
August 23, 2012

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Dengan bersetuju kepada pelbagai permintaan, dari menyiasat masalah pendatang haram Sabah, memansuhkan undang-undang keselamatan, mempertimbangkan royalti minyak dan juga membenarkan perhimpunan awam, kerajaan Barisan Nasional (BN) berharap dapat menumpulkan momentum Pakatan Rakyat (PR) dalam isu-isu yang mereka diperjuangkan, akan tetapi penganalisis politik mengatakan BN mempunyai risiko dilihat sebagai kerajaan lemah menjelang pilihan raya - dijangka tidak lama lagi.

Ahli politik BN berhujah bahawa apa yang dilakukan kerajaan tidak salah dan bukan satu tindakan menyerah diri, akan tetapi satu tanda bahawa parti pemerintah kini mendengar pandangan orang ramai dan membuat langkah tepat ke arah reformasi politik.

Akan tetapi penganalisis politik dan pemerhati yang diwawancara oleh The Malaysian Insider memberitahu, dalam jangkamasa panjang, BN berada dalam keadaan bahaya kerana memberikan isyarat mereka tidak mempunyai idea sendiri.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke13, perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak (gambar) telah membuat beberapa reformasi – dilihat sebagai percubaan untuk melemahkan kempen PR menawan Putrajaya.

Pentadbiran Najib telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan merancang untuk memansuhkan akta kontroversi iaitu Akta Hasutan.

Kerajaan juga telah menggubal undang-undang baru membolehkan perhimpunan aman, akan tetapi dalam protes terbaru Bersih pada 28 April lalu, sebaliknya yang berlaku apabila pihak berkuasa menyuraikan perhimpunan dengan kekerasan.

PR dan ahli politik pembangkang Sabah juga telah menggunakan masalah pendatang haram di Sabah untuk mendapat sokongan dari kalangan pengundi yang tidak berpuas hati dengan isu tersebut, akan tetapi Najib melangkah masuk baru-baru ini dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja siasatan (RCI) selepas dua ahli parlimen kanan BN Sabah belot menyokong PR.

Ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan memberitahu The Malaysian Insider, “adalah malang jika kita mempunyai sebuah kerajaan yang meniru apa saja yang dicadangkan pembangkang.”

 “Mereka seharusnya memimpin. Meniru bukanlah cirri kepimpinan sebenar,” sambil menambah, “BN harus mempunyai polisi mereka sendiri.”

Walau bagaimanapun, dia menyatakan bahawa “ia menunjukkan bahawa adalah baik untuk negara apabila mempunyai pembangkang yang kuat” kerana akan terdapat “persaingan sebenar” di antara ahli-ahli politik mengenai “apakah dasar yang baik bagi orang ramai.”

Apabila ditanya mengenai kesan langkah-langkah BN ini kepada pengundi, beliau berkata “adalah berisiko bagi kerajaan untuk meneruskan strategi meniru PR.”

“Orang akan mula mempersoalkan, siapakah pemimpin sebenar,” katanya sambil memberi amaran bahawa ia akan “merosakkan” BN dalam jangka masa panjang kerana ia boleh “kehilangan status sebagai pemimpin dan menjadi pengikut.”

Prof Jayum A. Jawan, profesor politik dan kerajaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), bersetuju dengan Wan Saiful dengan mengatakan bahawa “BN melakukan perkara betul tetapi mereka mencuri idea orang lain.”

Beliau mengatakan kegagalan kerajaan untuk menghasilkan “idea-idea besar” kerana kelemahan badan pemikir kerajaan yang sedia ada.

Beliau menambah BN dilihat “bertindak balas kerana tekanan dari PR”, ia perlu untuk mempunyai “kajian semula yang komprehensif” dan bukannya memberi “respon kepada satu atau dua isu.”

Apakah BN akan merespon setiap kali PR mengeluarkan sesuatu isu?” soal beliau sambil mengatakan pembangkang tidak akan berhenti menimbulkan persoalan.

Beliau berkata reformasi BN akan membolehkan pakatan pembangkang dilihat kedepan dengan mengatakan bahawa kempen mereka berjaya.

Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, seorang penganalisis politik dari UKM, tidak bersetuju dengan anggapan bahawa apabila memenuhi permintaan orang ramai, pentadbiran Najib dilihat sebagai lemah.

Akan tetapi dia memberitahu The Malaysian Insider bahawa adalah satu “ilusi” mengatakan BN boleh mengubah minda pengundi dengan reformasi dengan berkata ia hanyalah faktor “merasa baik”.

Shamsul berkata rakyat tidak mudah berpuas hati, sambil menambah mereka lebih berminat untuk menukar kerajaan persekutuan.

Beliau berkata bahawa kesan sebenar pada pilihan raya akan datang adalah dari “isu-isu yang secara langsung menjejaskan kehidupan harian pengundi”, terutama isu ekonomi dan “kebimbangan rakyat tentang jenayah”.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi