Bahasa

Perebutan kerusi di Johor, DAP gesa Anwar campur tangan

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi di negeri Johor, kata pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau hari ini, pada masa sama juga menyatakan tidak yakin dengan kepimpinan PKR negeri yang dipimpin Datuk Dr Chua Jui Meng.

Dalam satu kenyataan hari ini, Boo dilihat tidak berpuas hati dengan ketua PKR Johor tersebut selepas secara terbuka menyatakan langkah DAP berhasrat mahu meletak ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong bertanding di Gelang Patah sebagai tidak matang.

“Saya sangat percaya Datuk (Dr) Chua Jui Meng adalah individu ‘dibelakang tabir’ keatas beberapa serangan hebat terhadap DAP Johor,” kata Boo.

“Terdapat gerakan bawah tanah menentang DAP Johor sejak beberapa bulan dahulu.”

Boo mendedahkan terdapat beberapa badan bukan kerajaan di negeri tersebut yang berkempen “Jangan jadikan DAP terlalu kuat” serta menyatakan mereka juga diserang daripada setiap sudut sehingga dilabel sebagai “bongkak”.

Beliau juga berkata Pakatan Rakyat (PR) di Johor sebelum ini tidak berhadapan sebarang masalah dalam menyelesaikan masalah kerusi sehinggalah Dr Chua (gambar) menyertai mereka pada 2009.

“Perkembangan sejak dua tahun ini telah menggugat perpaduan Pakatan Rakyat, dan DAP telah menjadi sasaran oleh beberapa kuasa luar dan DAP dilabel sebagai “bongkak”.

“Kisah sebenarnya, PR Johor mempunyai hubungan yang kukuh dan berkesan dalam menyelesaikan pembahagian kerusi sebelum ini tetapi sebaliknya berlaku dengan kehadiran Datuk Chua Jui Meng,” tambah Boo lagi.

Disamping itu, Boo turut mengkritik langkah bekas menteri kesihatan tersebut yang mengumumkan dirinya sebagai calon di Gelang Patah walaupun pembahagian kerusi masih dalam perundingan serta menasihatkan Dr Chua supaya tidak membawa budaya politik MCA ke dalam PR.

“Datuk Chua Jui Meng sebelum ini mengumumkan pencalonan sendiri di Gelang Patah atas alasan beliau adalah ketua PKR Johor sebelum pembahagian kerusi diantara parti komponen PR di Johor diputuskan oleh pimpinan pusat.

“Sebagai orang baru dalam PR, Datuk Chua Jui Meng digesa supaya menghormati sejarah persefahaman dan hubungan erat antara parti komponen dalam PR di Johor sejak sejak dahulu lagi,” tambah Boo.

Boo juga berharap bekas pemimpin MCA tersebut mencerminkan dirinya yang sering dilihat memperkecilkan DAP dan pemimpin utamanya.

Sehubungan itu, Boo menegaskan tiada individu yang layak atau mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh PR dinegeri tersebut melainkan Anwar sendiri serta mengharapkan ia dapat diselesaikan secara baik.

“Bagi PR menakluk Johor sebagai salah satu negeri sasaran, sudah sampai masanya untuk saya meminta secara rasmi sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau (Datuk Seri) Dr Wan Azizah untuk mengambil alih kedudukan ketua PKR negeri Johor dan memantau rancangan untuk menawan negeri seperti Johor ini,” ujar Boo lagi.

Dalam Pilihan Raya 2008, calon PKR Zaliha Binti Mustafa tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Tan Ah Eng di kawasan parlimen Gelang Patah dengan mendapat undi sebanyak 33,630.

PKR dilihat mengintai untuk bertanding semula dikawasan parlimen Gelang Patah pada pilihan raya tahun ini namun Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai secara terbuka telah mengatakan Liew akan diletak sebagai calon mereka.

Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang malahan Dr Chua yang dikatakan mahu bertanding di Gelang Patah juga seolah-olah tercabar dengan tindakan oleh DAP untuk meletak Liew.

“Biarkan mereka (DAP). Mereka boleh bercakap apa sahaja, inikan negara demokrasi. Perkara itu (isu kerusi Parlimen Gelang Patah) akan ditentukan olehpucuk pimpinan pakatan rakyat,” katanya.

Setakat ini, pucuk pimpinan PR masih belum membuat keputusan tentang parti mana yang berhak meletakkan calon di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.