Bahasa

Perhimpunan Agung Umno dijangka focus mengenai PRU 13, kata Muhyiddin

ISLAMABAD, 23 Nov — Perhimpunan Agung Umno 2012 dijangka memberi fokus terhadap bagaimana perwakilan membahaskan perkara-perkara yang ada hubung kait dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bertujuan meningkatkan tumpuan dan perhatian setiap peringkat ahli terhadap pentingnya pilihan raya umum yang bakal dihadapi.

“Di samping itu, kita juga mahu mengambil kesempatan untuk melihat kondisi pemikiran pemimpin parti di semua peringkat tentang cabaran besar yang kita akan hadapi dalam pilihan raya ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau berkata melalui cabaran-cabaran yang dihadapi, perlakuan pihak pembangkang dan isu-isu yang berbangkit, anggota parti bukan sahaja setakat perlu memahami tetapi juga menangani supaya semangat juang lebih tinggi untuk mempertahankan kedudukan parti sebagai kuasa dalam kerajaan terhasil daripada perhimpunan agung kali ini.

“Kalau boleh kita perkukuhkan kedudukan kita...penting untuk kita mencapai kemenangan yang lebih cemerlang, meraih sokongan yang lebih besar dari segi pengundi popular dan memenangi kembali negeri-negeri dulu yang kita kalah, semasa pilihan raya umum 2008.

“Jadi, perhimpunan agung ini mempunyai signifikan yang agak besar sekali. Walaupun kita tahu dalam Umno sendiri terdapat isu-isu tertentu tetapi focus paling utama adalah bagaimana kita hendak menyiapsiagakan setiap ahli Umno termasuklah di peringkat akar umbi,” katanya.

Dengan tarikh pilihan raya yang makin hampir, Muhyiddin berkata adalah penting bagi ahli Umno untuk menanam kesedaran tentang cabaran besar dan amanah yang harus dipikul untuk menentukan mandat apabila meninggalkan Dewan Merdeka, tempat berlangsungnya perhimpunan agung, nanti.

“Ahli Umno juga harus menekankan aspek perpaduan dalaman parti yang perlu kita perkukuhkan. Saya pernah sebut pada mereka di setiap peringkat, di mana saya melawat di setiap negeri berjumpa dengan pemimpin di setiap peringkat parti baik Umno atau parti komponen Barisan Nasional.

“Yang pertamanya, saya sebutkan soal kita hendak mengelakkan masalah dan isu dalaman. Kita sedar di sesetengah tempat masalah itu ada. Saya sudah mengingatkan mereka supaya mencari jalan untuk selesaikan masalah itu,” katanya.

Muhyiddin berharap masalah-masalah seperti itu tidak akan menjadi halangan atau kekangan yang boleh menyebabkan Umno gagal atau tidak dapat meraih sokongan besar pada pilihan raya umum nanti.

“Bagaimanapun, pada pertemuan yang saya adakan dengan beberapa bahagian terpilih yang saya kenal pasti memerlukan tumpuan yang lebih, nampaknya mereka berjanji kali ini mereka akan menumpukan kepada soal kemenangan parti.

“Kalaupun ada perbezaan sesama sendiri, itu agak biasa tapi jangan jadikan ia satu benteng yang menghalang daripada kita mencapai matlamat kita dalam pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin berkata pendekatan untuk meraih undi sudah bermula hampir dua tahun yang lalu di semua peringkat.

“Sudah kita sebutkan bahawa amat penting kepada mereka (pemimpin Umno) untuk mendekati pengundi dan saya sebutkan pengundi adalah raja dan mereka yang menentukan nasib kita sama ada terus kekal sebagai sebuah kerajaan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kebanyakan orang Melayu sudah sedar dan Umno sendiri sudah memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dihadapi di setiap negeri, terutamanya di negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata kini sudah terdapat keyakinan yang baru di kalangan pengundi yang Umno adalah sebuah parti yang lebih berupaya berbanding dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui apa yang terjadi di negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang.

“Kali ini mereka (anggota Umno) sudah bekerja dan bersiap sedia lebih awal...daripada segi minda juga mereka sudah bersedia, jadi perubahan itu dilihat dalam bentuk gerak kerja dan bantuan-bantuan yang kita sampaikan. Oleh kerana itu, bukan sahaja pengundi Melayu tapi pengundi Cina dan India sudah melihat dan bersedia untuk memberi sokongan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Muhyiddin menuntut para pemimpin Umno untuk lebih bersedia daripada segi minda dan tenaga.

“Saya yakin Barisan Nasional akan memenangi pilihan raya akan dating dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kekal, Insya-Allah. Apa yang kita bakal hadapi adalah satu pertembungan yang hebat.

“Jadi, kita tidak boleh bersiap sedia seperti biasa, baik minda, baik tenaga dan gerak kerja. Kita mesti lebih agresif daripada pembangkang kerana ini adalah peperangan dari segi strategi yang berbagai-bagai.

“Tidak ada masa untuk istirehat, kita harus bangkit sepanjang masa, sampai masa tugas kita selepas pilihan raya,” katanya. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.