Bahasa

Perhimpunan aman: Majlis Peguam gubal RUU alternatif ‘mesra’, notis lima hari

Oleh G Manimaran
November 29, 2011

Rang undang-undang disediakan Majlis Peguam ini akan dikemukakan kepada kerajaan pada kempen Walk For Freedom ke bangunan Parlimen, pukul 11.30 pagi ini.

Semalam, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) menulis surat terbuka kepada kesemua Ahli Parlimen agar menolak Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, sebaliknya meminta mereka selaku wakil rakyat terpilih mempertimbangkan syor mereka dan merujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Sebelum ini banyak pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang mendakwa Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pentadbiran Najib dibuat secara tergesa-gesa dengan mengekang kebebasan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa undang-undang itu sebagai pengganti kepada pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis.

Di bawah rang undang-undang alternatif itu, Majlis Peguam mengesyorkan penganjur hanya perlu memberi notis lima hari berbanding 30 hari yang diperuntukkan oleh pentadbiran Najib sebelum ini.

Ekoran kritikan dan kecaman ramai, pentadbiran Najib bersetuju agar ia dikurangkan kepada 10 hari. Kabinet memutuskan tujuh pindaan dalam mesyuarat mingguannya Jumaat lalu.

Semalam, Najib mendakwa banyak pihak salah tafsir kandungan rang undang-undang dibawa beliau.

“Apabila satu perhimpunan hendak diadakan, penganjur perlu memaklumkan OCPD dalam bentuk tulisan sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan,” kata RUU Perhimpunan Aman disediakan oleh Majlis Peguam, yang diedarkan kepada media.

Selain itu katanya, notis tidak perlu diberi kepada perhimpunan-perhimpunan aman yang tidak munasabah atau tidak praktikal untuk dilakukan, antaranya kempen pilihan raya.

Peruntukan lain disyorkan termasuklah:

- OCPD, selepas menerima notis, akan mengadakan perbincangan dengan penganjur dengan niat mahu memudahkan penganjuran perhimpunan aman

- OCPD perlu memaklumkan penganjur jika apa-apa syarat hendak dikenakan dalam tempoh 48 jam selepas menerima notis

- Pembentukan Lembaga Perhimpunan Aman dengan 25 anggota, antara lain untuk mendengar sebarang permohonan daripada OCPD atau penganjur, mewujudkan kefahaman mendalam di kalangan orang ramai mengenai isu-isu berkaitan perhimpunan awam yang aman

- Tugas anggota di tempat perhimpunan aman

- Tiada anggota polis harus berada di kawasan perhimpunan persendirian

- Peranan pihak media

- Hukuman denda ke atas penganjur yang melanggar undang-undang ini tidak melebihi RM5,000

- Anggota polis yang melanggar akta ini, yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM5,000

Di bahagian nota penjelasan dalam RUU Perhimpunan Aman alternatifnya, Majlis Peguam berkata, pendekatan kerajaan dalam menyediakan hak untuk berhimpun adalah terlalu terhad dan terbatas selain tidak selari dengan norma-norma antarabangsa ataupun kemajuan dalam hak asasi manusia yang turut diapirasikan oleh rakyat Malaysia.

“Majlis Peguam merangka rang undang-undang ini dengan hasrat mahu menggalak dan memudahkan kebebasan untuk mengadakan perhimpunan aman,” kata nota keterangan itu lagi.

Ia juga menyebut bahawa tindakan kerajaan mengharamkan protes jalanan menunjukkan tiada bidang kuasa progresif melakukan sedemikian.

Malah, Majlis Peguam juga berkata rang undang-undang dibawa kerajaan meletakkan kuasa dan kawalan keterlaluan ke atas bahu polis yang sudah pun memikul beban besar dalam tugas dan tanggungjawab seharian.

Sehubungan itu katanya, peruntukan tersebut tidak boleh diterima sebab polis menjadi “hakim dan juri sendiri dalam perkara berkaitan dengan kebebasan berhimpun.”

Satu lagi perkara ditekankan dalam RUU Perhimpunan Aman Majlis Peguam ialah definisi mengenai perhimpunan awam, di mana ia menggariskannya sebagai satu pertemuan melibatkan lebih daripada 50 orang, yang diadakan di kawasan awam sama ada di kawasan tertentu atau yang bergerak, dan ini termasuklah kempen pilihan raya.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi