Bahasa

Perintah darurat termasuk di Ledang

June 23, 2013

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor sehingga ke suatu masa ia ditarik balik.

Pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan jerebu khususnya di kawasan Muar meliputi dua daerah itu berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan atau 'emergency', katanya dalam satu kenyataan.

"Pengiystiharan darurat bencana jerebu ini tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan sekarang," katanya.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bacaan IPU di Muar setakat 7 pagi ini ialah 746 manakala bacaan setakat 11 pagi pula meskipun mencatatkan sedikit penurunan kepada 690 tetapi masih pada tahap bahaya.

Najib berkata semua kementerian dan agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat persekutuan, negeri dan daerah dikehendaki mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Katanya satu garis panduan mengenai tindakan untuk menghadapi darurat jerebu telah disediakan sebagai panduan semua pihak melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam kenyataannya itu turut dilampirkan garis panduan tindakan dalam menghadapi darurat jerebu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri.

Apabila keadaan Darurat Bencana Jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri dan Daerah hendaklah mengambil tindakan-tindakan perlu seperti berikut:-

a) Menasihatkan penutupan pejabat atau premis kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan, kuari serta kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

Langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diambil pada setiap masa.

Nasihat penutupan ini adalah dikecualikan bagi: i) Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Air; ii)Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Elektrik; iii) Perkhidmatan-perkhidmatan Kesihatan Awam; iv) Perkhidmatan-perkhidmatan Bomba; v) Perkhidmatan-perkhidmatan Penjara; vi) Perkhidmatan-perkhidmatan Pos; vii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telefon dan Telekomunikasi; viii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telegraf ix) Perkhidmatan-perkhidmatan komunikasi radio, termasuk perkhidmatan penyiaran dan televisyen; x) Perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan termasuk limbungan, dermaga dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada kaitan dengannya; xi) Perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan darat, laut dan udara; xii) Perkhidmatan-perkhidmatan membekal bahan-bahan pembakar dan minyak pelincir; xiii) Perkhidmatan perbankan dan kewangan; xiv) Semua perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana jerebu di bawah Arahan MKN no.20 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

b) Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta mana-mana agensi yang berkaitan melaksanakan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak yang terletak dalam kawasan Darurat Bencana Jerebu;

c) Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan penyiaran maklumat-maklumat kesedaran mengenai jerebu secara berterusan untuk panduan orang awam;

d) Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana agensi yang berkaitan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap sumber-sumber yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara;

e) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut dan pembakaran terbuka dengan kerjasama agensi-agensi lain;

f) Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan pemantauan dan rawatan bagi masalah kesihatan yang disebabkan keadaan berjerebu di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan;

g) Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan melaksanakan aktiviti pembenihan awan dalam keadaan cuaca yang membolehkan kejayaan operasi bagi mengurangkan masalah jerebu; dan

h) Semua Kementerian, Jabatan atau agensi-agensi yang berkaitan menangguhkan aktiviti-aktiviti luar atau riadah yang melibatkan masyarakat. - Bernama, 23 Jun, 2013.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi