Bahasa

Perjuangan seni dan politik berbeza, kata Zed Zaidi

Oleh Nomy Nozwir
July 24, 2012

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Abdul Jamil. – Foto ihsan twitter.com/rozaidijamilKUALA LUMPUR, 24 Julai — Perjuangan seni dan perjuangan politik adalah dua perkara yang berbeza dan perlu dibezakan demi kemajuan seni tanah air, kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil.

Pelakon yang dikenali sebagai  Zed Zaidi itu berkata, sebagai seorang artis, mereka haruslah dapat membezakan antara perjuangan seni dengan perjuangan untuk negara.

Ini adalah respon beliau apabila disoal tentang kenyataan kartunis Zunar tentang apabila artis menyertai parti politik, dia tidak lagi bergiat dalam seni sebaliknya hanya berceramah.

“Itu hak individu, pilihan raya nak dekat, mungkin dia tinggalkan seketika untuk dahulukan parti dan ideologi mereka, tapi selepas pilihan raya, mereka akan kembali berkarya,” kata Zed Zaidi.

Menurut presiden Seniman itu lagi, golongan artis menyertai parti politik bukan kerana mereka mahu menambah rezeki tetapi kerana kepercayaan politik mereka.

“ Artis masuk parti politik bukan sebab nak cari peluang rezeki, sebab menjadi artis itu sendiri sudah menjadi peluang rezeki bagi saya.

“Saya menyertai Umno kerana ia lebih dekat dengan jiwa saya. Saya menilai parti-parti yang lain juga, namun, Umno lebih dekat dengan diri saya,” katanya.

Sementara itu, Hairie Othman watak utama filem “Leftenan Adnan” yang menyertai PAS baru-baru ini pula berkata, beliau tidak terasa terikat dengan ideologi parti kerana tidak dapat berkarya dalam bidang lakonan, sebaliknya ceramah itu sendiri baginya adalah satu cabang seni untuk menarik orang ramai.

“Alhamdulilah, sejak saya menyertai PAS ini, saya menjadi semakin sibuk.

“Program saya telah dirancang sampai Hari Raya Aidilfitri.

“Tapi untuk berkarya macam dulu tu, peluang terbatas.

“Tapi tak bermakna tidak ada dan saya ada juga mencadangkan penerbitan filem independen yang lebih Islamik,” kata Hairie Othman lagi.

Menurut watak utama filem Leftenan Adnan itu, selepas berhijrah menyertai PAS, pembikin-pembikin filem takut untuk mengambilnya berlakon kerana risau filem tak keluar panggung.

“Mungkin sekarang bila saya nak aktif dalam kegiatan seni ni, produser pun takut nak ambil, sebab takut filem tak keluar.

“Tidak mengapalah, jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah nanti, saya harapkan agar kita dapat berkarya dalam jalan yang diredhai Allah,” kata Hairie lagi.

Sementara itu  penulis lirik lagu Isabella yang telah menyertai PAS, Bob Lokman berkata dia berharap artis-artis yang ada sekarang ini dapat mempelajari sesuatu apabila PR memerintah selepas pilihan raya akan datang.

“Kami tidak berkarya kerana segala permit dan kelulusan semua di tangan kerajaan Barisan Nasional, sebab itu kami berjuang melalui ceramah supaya kami dapat berkarya pada jalan Islam apabila Pakatan menang nanti,” kata penulis lirik terkenal itu.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi