Perkasa gesa kerajaan ambil tindakan terhadap penganjur Bersih 3.0
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap peserta, malah penganjur perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, Bersih 3.0.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, penganjur perhimpunan itu berjaya meloloskan diri, sedangkan peserta perhimpunan Duduk Bantah itu terpaksa menanggung beban tersebut.
“Amat penting jika pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menghukum penganjur perhimpunan haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ibrahim, rakyat akan mula hilang keyakinan terhadap kerajaan jika “ikan bilis” sahaja yang ditangkap, sedangkan si “jerung” dibiarkan bebas.
“Perkasa mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan,” tegasnya lagi.
Perhimpunan Bersih 3.0, yang pada mulanya berlangsung secara aman bertukar ganas seperti mana Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu, apabila polis mengejar perusuh dan melepaskan gas pemedih mata termasuk meriam air ke arah perusuh.
Gerakan menuntut pembaharuan pilihan raya itu berterusan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap cubaan dan janji kerajaan memperbaiki kelemahan sistem pilihan raya, walaupun panel khas berhubung perkara itu sudah dibentuk di Parlimen.
Tuntutan Bersih adalah meliputi aspek proses pilihan raya negara ini, lebih menjurus kepada pembersihan sistem daftar pemilih sedia ada, bagi memastikan kerajaan yang mengamalkan demokrasi diberikan kuasa memerintah.
Perhimpunan “Duduk Bantah” itu kemudiannya bertukar menjadi ganas apabila pihak polis mula melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan perusuh.
Menurut kenyataan pihak polis, 513 individu telah ditangkap sewaktu demonstrasi tersebut, dan polis juga telah mengedar 49 gambar individu yang dipercayai terlibat mencetuskan keganasan dalam perhimpunan berkenaan.



