Bahasa

Perkasa: Gesaan bakar Injil Melayu adalah ‘wake-up call’

Oleh Mohd Farhan Darwis


January 24, 2013

Syed Hassan juga mengesahkan Ibrahim sudah dihubungi oleh pihak polis untuk disoal siasat. – Gambar failSyed Hassan juga mengesahkan Ibrahim sudah dihubungi oleh pihak polis untuk disoal siasat. – Gambar failKUALA LUMPUR, 24 Jan – Disebalik tekanan dan kemarahan pelbagai pihak berikutan dengan kenyataan Datuk Ibrahim Ali mengenai pembakaran kitab Injil, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan kenyataan presiden mereka adalah “wake-up call” kepada semua pihak bagi mengelakkan berlakunya serangan fizikal kepada pengedar kitab yang menggunakan kalimah Allah dan perkataan Arab lain.

Setiausaha Agung pertubuhan tersebut , Syed Hassan Syed Ali berkata, Ibrahim tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan tindakan berhubung dengan kenyataannya, termasuk disoal siasat polis berikutan dengan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Bagi Presiden Perkasa, beliau pasti  tidak perlu bimbang apa-apa dengan semua laporan polis itu. Sebab siasatan pastinya berpandu kepada kebenaran dan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Akan tetapi Syed Hassan menegaskan kenyataan Ibrahim adalah lebih kepada untuk menggelakkan kemungkinan berlakunya keganasan fizikal dan kejadian lain yang tidak diingini jika kitab Injil berbahasa Melayu diberikan kepada pelajar Muslim.

Jika ini dilihat oleh orang Islam yang menganggap ini adalah percubaan untuk memurtadkan mereka, keganasan mungkin berlaku kepada pengedar kitab tersebut.

“Saya sangat memahami kenyataan presiden saya itu kerana kenyataan tersebut dibuat adalah sebagai ‘wake-up call’ kepada semua pihak bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Itu yang presiden bimbangkan kerana jika berlakunya kejadian seperti itu akan tergambar sudah berlaku serangan fizikal antara penganut berlain agama dlm negara ini. Ini tidak baik utk negara,” katanya.

Syed Hassan juga mengesahkan Ibrahim sudah dihubungi oleh pihak polis untuk disoal siasat setelah pihak polis menerima laporan polis dari beberapa pihak termasuk Pengerusi DAP Karpal Singh.

Siasatan akan diadakan dalam satu dua hari lagi, tambahnya.

Karpal membuat laporan pada Selasa untuk memberi tekanan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bertindak terhadap Ibrahim yang dikecam pelbagai pihak selepas membuat kenyataan di Pulau Pinang hujung minggu lalu.

Pemimpin yang mempertahankan hak Melayu telah menggesa orang Islam agar membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan kalimah “Allah” dan perkataan Arab lain jika menjumpainya.

Dalam percubaan untuk terus mempertahankan kenyataan Ibrahim, Syed Hassan mengatakan semenjak dahulu Perkasa tidak pernah menyerang Kristian.

Menurutnya, kumpulan tersebut hanya mempertahankan Islam dan kedudukannya seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan ini termasuklah menolak sesiapa sahaja yang menghina agama tersebut dan juga mereka yang mahu menyebarkan agama mereka kepada Muslim.

“Dulu semua kaum berlainan agama boleh hidup aman damai. Tetapi sekarang disebabkan ada pihak cuba ambil kesempatan bagi kepentingan politik mereka, sanggup melakukan sesuatu yang mendatangkan kemarahan pihak lain pula,” katanya.

Kenyataan Ibrahim menyebabkan kemarahan dikalangan penganut Kristian dan ahli politik merentasi parti yang mendesak kerajaan agar mengambil tindakan terhadap Ibrahim kerana menghasut.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) MIC turut merah dengan kenyataan Ibrahim serta menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin yang lantang itu.

Turut tidak bersetuju dengan Ibrahim, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee menegaskan walaupun badan tersebut kekal dengan pendirian Akta Hasutan 1948 harus dipinda, ia seharusnya turut digunakan kepada Ibrahim kerana sebelum ini kerajaan pernah menggunakan akta tersebut kepada pemimpin pembangkang.

Dalam satu kenyataan disini, Pengerusi Pengikut Kristian Evangelikal Kebangsaan (NECF), Reverend Dr Eu Hong Seng mengatakan “cadangan tidak patut” tetapi mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tidak melampau dalam memberi respon kepada ugutan tersebut.

“Cadangan tidak patut untuk membakar Injil dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi perkataan ‘Allah’ ini adalah peringatan serius untuk seluruh rakyat Malaysia agar tidak melampau dalam respon kita, lain kali jika terdengar orang kurang waras di Barat membakar kitab suci orang lain, kita juga mempunyai golongan kurang waras seperti mereka,” katanya.

Perselisihan di antara majoriti Melayu-Islam yang membentuk 60 peratus dari 28 juta rakyat Malaysia dan minoriti Kristian berlaku pada awal 2010 apabila Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik mempunyai hak untuk memanggil tuhan mereka sebagai “Allah”, menyebabkan serangan ke atas rumah ibadat termasuk gereja, masjid dan gurdwara.

Perselisihan timbul kembali apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada kitab Injil dalam bahasa Melayu dalam perutusan Krismasnya bulan lalu.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi